Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor buat solat sunat ‘Istisqa’ mohon hujan

Apr 23, 2024 | 4:46 PM
Encik Mohd Fared Mohd Khalid dan pegawai serta anggota Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengadakan majlis solat sunat ‘Istisqa’ bagi memohon hujan di Empangan Sembrong, Ayer Hitam.
Encik Mohd Fared Mohd Khalid dan pegawai serta anggota Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengadakan majlis solat sunat ‘Istisqa’ bagi memohon hujan di Empangan Sembrong, Ayer Hitam. - Foto ihsan EXCO JOHOR

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama pentadbiran daerah Kluang mengadakan majlis solat sunat Istisqa bagi memohon hujan di Empangan Sembrong dekat sini pada 22 April.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata solat itu bagi memohon hujan, terutama di kawasan sekitar empangan yang dilanda musim kemarau, sekali gus mengganggu bekalan air di daerah Kluang dan Kulai, lapor BH Online (Malaysia).

“Usaha melakukan solat Istisqa hari ini bagi memohon Allah swt menurunkan hujan, khususnya di Empangan Sembrong, Ayer Hitam.

“Beberapa kawasan di Kluang dan Kulai terjejas bekalan air sejak awal Aidilfitri lalu akibat paras air empangan semakin merosot. Bagaimanapun, paras air kini menunjukkan sedikit perubahan, namun usaha perlu diteruskan.

“Kerajaan Johor melalui JAINJ juga akan menyelaras solat sunat Istisqa dan khutbah di setiap daerah negeri ini, supaya kemarau yang sedang melanda kini segera berakhir,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 April.

Pada Aidilfitri kedua lalu, media melaporkan lebih ribuan pengguna dan penduduk di Kulai dan Kluang terjejas menyusuli gangguan bekalan air, sekali gus mengganggu sambutan Hari Raya.

Antara kawasan terjejas di Kulai ialah Murni Jaya, Kampung Sri Muar dan FELDA Bukit Permai, selain beberapa kawasan di Kluang.

Encik Mohd Fared berkata kerajaan Johor memandang serius isu kemarau yang mengakibatkan beberapa empangan mencatatkan penurunan paras air.

“Berdasarkan kiraan Indeks Laporan Pemantauan Kemarau (SPI) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laporan pemantauan kemarau bulan lalu, bacaan indeks SPI di Stesen Meteorologi Kluang adalah pada skala sederhana kering dan sangat kering.

“Kita berharap usaha melakukan solat Istisqa di seluruh negeri, termasuk di Empangan Sembrong, akan berhasil,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg