JOHOR BAHRU: Cadangan pembinaan Stesen KTM Komuter di Arena Larkin, dengan anggaran peruntukan indikatif RM50 juta ($15.7 juta), dirancang bagi menghubungkan perkhidmatan kereta api, terminal bas dan cadangan laluan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata cadangan stesen itu disenaraikan sebagai salah satu inisiatif dalam Ringkasan Langkah Belanjawan 2027.

Menurutnya, stesen berkenaan dirancang sebagai sebahagian daripada pembangunan berorientasikan transit bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Johor Bahru.

“Perkhidmatan bas antara bandar dalam Johor dan rentas sempadan ke Singapura dicadangkan kekal di kawasan Larkin.

“Hubungan antara terminal bas dan stesen KTM Komuter yang dicadangkan penting untuk memudahkan penumpang bertukar perkhidmatan dan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada 10 November.

Beliau sebelum itu mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, di Putrajaya mengenai hala tuju transformasi dan naik taraf hab pengangkutan awam Johor.

Encik Fazli berkata cadangan pembangunan Arena Larkin perlu dikaji dengan teliti, termasuk kesannya terhadap kawasan sekitar.

Antara perkara yang perlu dinilai pemaju ialah kemampuan sistem saliran mengurus air hujan serta kapasiti jalan masuk dan persimpangan untuk menampung pertambahan trafik, khususnya pada waktu puncak.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan penyelarasan bersama MOT dan agensi berkaitan bagi memperincikan cadangan itu.

Keutamaan diberikan kepada akses penumpang ke stesen dan terminal serta kesinambungan perkhidmatan bas sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Encik Fazli berkata Projek Saliran Mesra Alam Tebrau dan Plentong, Pakej 1, yang melibatkan Kampung Ubi dan Kempas Permatang, mencapai kemajuan keseluruhan 98 peratus setakat Oktober.

Projek bernilai kira-kira RM8.46 juta itu disasarkan siap pada 30 November.

Di Kampung Ubi, kemudahan yang dibangunkan termasuk pam jenis skru, kolam takungan banjir seluas 1,730 meter persegi serta naik taraf longkang dan struktur perlindungan banjir.

Menurutnya, penduduk kawasan itu berdepan risiko banjir apabila hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang, sehingga menyukarkan pelepasan air dan menyebabkan limpahan ke kediaman.

Pam tersebut dilengkapi pengesan paras air automatik yang membolehkannya berfungsi apabila air melebihi tahap ditetapkan.

“Sistem ini penting terutama ketika hujan lebat kerana air dapat dipam keluar tanpa perlu menunggu pam dihidupkan secara manual,” katanya.

Encik Fazli berkata beliau telah meninjau kesiapsiagaan pam dan kolam takungan serta meminta pihak pelaksana menyelesaikan baki kerja mengikut sasaran.

Beliau berharap kemudahan itu dapat mengurangkan risiko banjir serta melindungi kediaman dan harta benda penduduk Kampung Ubi.