JOHOR BAHRU: Satu kematian akibat Covid-19 telah direkodkan di Johor pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51, pada 17 hingga 23 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata tiga lagi pesakit Covid-19 masih dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 123 pesakit dirawat di wad hospital di Johor.
Menurutnya, pola Covid-19 di Johor dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan peningkatan mendadak.
“Kerajaan Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19, sekali gus memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan.
“Secara kumulatif Johor Bahru merekodkan kes Covid-19 tertinggi sehingga ME51 iaitu sebanyak 2,431 kes diikuti Kulai (885) dan Batu Pahat (812).
“Setakat 23 Disember lalu, secara kumulatif terdapat 404,309 kes Covid-19 dilaporkan di Johor, di mana 401,216 kes adalah jangkitan tempatan, manakala baki 3,093 adalah kes import.
“Purata Kadar Insiden Harian Covid-19 untuk ME51 adalah 8.44 untuk setiap 100,000 penduduk,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada 25 Disember.
Encik Ling berkata kerajaan negeri Johor memandang serius situasi terkini Covid-19 dan menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada ketika musim cuti perayaan yang panjang.
“Orang ramai digalakkan supaya terus mengamalkan penjagaan kesihatan seperti memakai pelitup muka selain mengelakkan 3S iaitu elakkan tempat sesak, sempit dan sembang rapat.
“Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan supaya segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata jumlah kes jangkitan wabak Covid-19 dijangka berkurangan pada Januari.
Menurut laporan BHM pada 24 Disember, beliau berkata situasi Covid-19 ketika ini dipantau berdasarkan empat kriteria iaitu jumlah kes jangkitan, kes kematian dan kemasukan ke ICU serta beban yang dihadapi oleh kemudahan kesihatan terutamanya hospital.
Datuk Dr Dzulkefly berkata kes Covid-19 bagi ME ke-51 iaitu bagi seluruh negara meningkat sebanyak 29.5 peratus kepada 22,413 kes berbanding 17,307 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.
Sejauh ini, Kementerian Kesihatan (KKM) belum menguatkuasakan wajib orang ramai menggunakan pelitup di tempat awam dan ia disifatkan wajar mengikut keperluan serta bersistematik dan bukan saja melihat kepada jumlah kenaikan kes semata-mata.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg