Johor terus mencatat prestasi ekonomi memberangsangkan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ketahanan ekonomi negeri itu diterjemahkan melalui kutipan hasil tertinggi dalam sejarah Johor, berjumlah RM2.676 bilion ($847 juta) bagi tahun 2025.
“Seiring dengan pertumbuhan pelaburan dan ekonomi negeri, pengurusan kewangan Johor terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Bagi tahun 2025, negeri Johor telah merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah negeri berjumlah RM2.676 bilion.
“Hasil negeri ini dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berfokuskan kesejahteraan, khususnya Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang merangkumi 23 inisiatif dan memberi manfaat kepada ratusan ribu penerima.
“Ia termasuk anak yatim, pelajar, keluarga B40 (bergaji rendah), warga emas, ibu tunggal serta golongan rentan. Inilah prinsip yang sentiasa dipegang oleh Kerajaan Johor, bahawa hasil negeri mesti dikembalikan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 31 Disember.
Datuk Onn Hafiz juga menyeru seluruh pimpinan kerajaan negeri untuk lebih memahami keperluan rakyat, dan memastikan setiap usaha benar-benar dapat meringankan beban serta meningkatkan mutu hidup seluruh warga Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, ketika dihubungi Berita Harian (BH) berkata aspirasi Kerajaan Johor menjelang 2026 adalah untuk menterjemahkan momentum sedia ada kepada transformasi jangka panjang yang lebih mampan di bawah agenda Maju Johor.
“Pelaksanaan JS-SEZ akan dipandu oleh satu pelan induk yang jelas dan tersusun, dijadualkan dilancarkan pada suku pertama 2026, bagi mempercepatkan peringkat pelaksanaan dengan penekanan kepada projek pemangkin, pemudahcaraan kawal selia serta integrasi rentas sempadan yang lebih lancar.
“Matlamat kami adalah menjadikan JS-SEZ bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi sebuah platform yang menghimpunkan modal global, rantaian bekalan serantau dan bakat tempatan untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta daya tahan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Menurut beliau, selain JS-SEZ, Johor akan terus memperkukuh kedudukan dalam sektor strategik berimpak tinggi yang sudah berada dalam perancangan, termasuk pusat data dan prasarana digital, pembuatan termaju, logistik serta tenaga hijau, dengan penekanan kepada keselamatan tenaga, daya tahan air dan pembangunan bakat.
“Hasrat Kerajaan Johor bukan sekadar untuk berkembang dengan lebih pantas, tetapi untuk berkembang dengan lebih baik.
“Johor mahu dibangunkan sebagai sebuah negeri yang menyeluruh dan bersedia menghadapi masa depan, demi manfaat Bangsa Johor dan para pelabur, selaras Agenda Maju Johor 2030,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg