Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat Kereta Api Elektrik pacu pertumbuhan Johor Tengah, kukuh rangkaian ekonomi hingga ke S’pura

Ketersambungan rel buka akses lebih luas kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan khidmat penting kepada penduduk sepanjang koridor rel
Dec 12, 2025 | 5:52 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, menganggap peningkatan ketersambungan rel melalui perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) membuka akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan penting kepada penduduk di sepanjang koridor rel.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, menganggap peningkatan ketersambungan rel melalui perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) membuka akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan penting kepada penduduk di sepanjang koridor rel. - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Pelancaran perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur bukan sekadar mempercepatkan perjalanan antara dua bandar utama, malah berperanan sebagai pemangkin besar kepada pertumbuhan daerah pedalaman Johor termasuk Kluang, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi negeri secara lebih seimbang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata peningkatan ketersambungan rel melalui ETS membuka akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan penting kepada penduduk di sepanjang koridor rel.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Paloh, berkata kemudahan itu membolehkan anak Johor terus berakar di kampung halaman sambil menikmati limpahan pembangunan negara.

“Dengan kedudukan strategik bandar-bandar seperti Kluang dan Paloh di sepanjang jajaran rel, ETS memendekkan masa perjalanan dan menghubungkan masyarakat setempat secara lebih langsung dengan pusat ekonomi utama.

“Ini mengukuhkan ekonomi tempatan serta menyokong pembangunan yang lebih seimbang di seluruh Johor,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau menambah manfaat ketersambungan itu akan terus berkembang apabila perkhidmatan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi pada 2027.

Rangkaian rel yang semakin menyeluruh itu dijangka memperluas hubungan ekonomi rentas sempadan serta memperkukuh peranan Johor sebagai penghubung strategik antara Malaysia dan Singapura.

Dari sudut pelaburan, Encik Lee berkata peningkatan hubungan rel menjadikan Johor Tengah lebih menarik kepada pelabur, khususnya perusahaan kecil dan sederhana serta industri berasaskan agro atau pertanian.

“Akses yang lebih cekap ke Johor Bahru, pelabuhan dan Lembah Klang membantu memperbaiki rantaian bekalan serta kecekapan logistik, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di bandar besar,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan ETS turut melengkapi pembangunan pesat di kawasan pertumbuhan seperti Kulai.

“Digabungkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, zon perindustrian serta Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, (JS-SEZ) perkhidmatan ETS mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan yang semakin tersambung dan berdaya saing di peringkat serantau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata penyempurnaan projek ETS menandakan tahap baru sistem pengangkutan rel negara dengan siapnya rangkaian landasan berkembar elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru.

Beliau berkata projek sepanjang 192 kilometer yang merangkumi 11 stesen moden itu meningkatkan kapasiti perjalanan serta memperkukuh ekonomi koridor selatan Johor, di samping menjadi pemacu utama pertumbuhan wilayah.

“Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menubuhkan Pasukan Bertindak Projek Berimpak Tinggi bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Antara isu yang berjaya ditangani termasuk pemindahan penempatan, pengalihan rumah ibadah di sepanjang jajaran landasan, ancaman ban haram yang hampir menenggelamkan trek serta pengurusan hidupan liar termasuk gajah.

“Semua halangan ini diselesaikan melalui kerjasama erat dan komitmen tinggi pelbagai agensi berkaitan.

“Pengendalian operasi ETS laluan KL Sentral-JB Sentral mencerminkan iltizam kerajaan membangunkan negara secara menyeluruh, mempercepatkan mobiliti rakyat serta memacu kemajuan ekonomi Johor dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg