Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor pantau tindakan tangani banjir kilat setiap minggu
Johor pantau tindakan tangani banjir kilat setiap minggu
JOHOR BAHRU: Kemajuan kerja menangani banjir kilat di Johor Bahru akan dipantau setiap minggu, dengan pembersihan saliran, pendalaman kolam tadahan dan pengukuhan operasi pam diberi keutamaan susulan kejadian pada 30 September.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata beliau bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengadakan mesyuarat susulan mingguan bagi memastikan tindakan dilaksanakan secara terselaras.
“Saya bersama Datuk Bandar MBJB akan mengadakan mesyuarat susulan setiap minggu, dengan setiap tindakan mempunyai agensi pelaksana, tempoh pelaksanaan dan laporan kemajuan yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Oktober.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas banjir kilat Johor Bahru bagi menyelaraskan tindakan segera dan penyelesaian jangka panjang.
Menurutnya, laporan MBJB menunjukkan banjir kilat berlaku sekitar 3 petang hingga 5 petang, dengan bacaan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan 91 milimeter di Pintu Air Kolam Air dan Stor JPS Johor Bahru serta 120 milimeter di Kampung Mohd Amin.
Paras air pasang pula direkodkan pada 3.5 meter pada 1.25 petang sebelum surut kepada 0.5 meter pada 7.17 malam.
Antara masalah yang dikenal pasti ialah hujan lebat ketika air pasang yang mengehadkan pelepasan air ke Selat Johor, kapasiti saliran dan takungan tidak mencukupi, sekatan sampah, mendapan serta limpahan sungai.
“Keutamaan kita ialah memulihkan keupayaan sistem saliran di lokasi kritikal, memperkukuh kesiapsiagaan operasi serta mengurangkan risiko kejadian berulang,” katanya.
Bagi tindakan segera, pembersihan longkang, parit, pembetung dan kekisi akan diberi keutamaan untuk memulihkan aliran air.
Pengorekan mendapan serta pendalaman kolam tadahan di Tasik Merdeka, Jalan Mohamad Amin dan Ayer Molek juga perlu disegerakan, selain penambahan pam termasuk pam mudah alih di lokasi kritikal.
Kerja pembaikan turut merangkumi tembok runtuh di Sungai Chat, pembesaran kekisi saliran di Jalan Wong Ah Fook berhadapan JBCC serta penggantian injap sehala di Kampung Bakar Batu daripada saiz 450 kepada 1,000 milimeter.
Bagi penyelesaian jangka panjang, Datuk Mohd Jafni berkata pelantikan perunding akan disegerakan untuk mengkaji keperluan saliran dan tebatan banjir Johor Bahru bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Kajian itu akan mengambil kira perubahan guna tanah, pertumbuhan bandar, aliran air hujan serta pengaruh pasang surut sebelum keperluan naik taraf ditentukan.
Cadangan infrastruktur termasuk kolam takungan baru di Jalan Mohamad Amin, tambahan pembetung di Jalan Kolam Ayer serta pembesaran takungan di Ayer Molek.
Cadangan menaikkan aras Jalan Mahmoodiah dan tempat letak kenderaan Wisma Persekutuan pula perlu dinilai supaya tidak memindahkan risiko banjir ke kawasan bersebelahan.
Beliau turut memaklumkan pembinaan rumah pam Kampung Seri Jaya oleh JPS bagi menangani limpahan Sungai Skudai dilaporkan 95 peratus siap.
Penyiapan, pengujian dan kesiapsiagaan operasi rumah pam itu akan terus dipantau.