Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor gempur peniaga asing tanpa lesen, 16 ditahan di Kulai

Jul 1, 2025 | 1:42 PM
Malaysia, Johor, Kulai, peniaga tanpa lesen, warga asing
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, melihat barangan yang dijual di sebuah premis yang dikendalikan warga asing di Kulai. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerajaan Johor terus mempergiat tindakan tegas terhadap peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, dalam usaha melindungi kepentingan peniaga tempatan dan mengekalkan kewibawaan sistem perniagaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata satu operasi bersepadu bersama pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah dijalankan pada petang 30 Jun, di sekitar kawasan Kulai bagi membanteras kegiatan perniagaan haram yang melibatkan warga asing.

“Sebanyak tiga premis telah disita barangannya, manakala lapan premis diarahkan tutup serta-merta atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran syarat lesen.

“Seramai 16 warga asing yang tidak memiliki permit sah turut ditahan oleh Jabatan Imigresen, selain pengeluaran kompaun bernilai RM2,900 ($879) bagi kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Jun.

Menurut Datuk Mohd Jafni, operasi itu merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mahu semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu bebas daripada kegiatan haram yang mengganggu kesejahteraan dan keselamatan penduduk.

Beliau menegaskan bahawa kegiatan perniagaan tanpa lesen oleh warga asing bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan menimbulkan ketidakseimbangan dalam ekonomi setempat dan menyukarkan peniaga tempatan yang berdaftar dan mematuhi peraturan.

“Kita menyokong penuh peniaga kecil dan usahawan tempatan yang patuh kepada undang-undang, tetapi kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan ruang perniagaan di negeri ini.

“Setiap inci ruang niaga adalah amanah rakyat Johor – bukan untuk dimanipulasi pihak luar,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi itu termasuk MPKu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan Kulai serta jabatan berkaitan lain yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan persekitaran perbandaran yang teratur dan selamat.

“Selagi diberi kepercayaan, kita akan pastikan penguatkuasaan PBT terus diperkasa. Johor tidak akan berkompromi dalam perkara yang menyentuh kedaulatan ekonomi dan keselamatan masyarakat,” tegas beliau.

Dalam program berasingan, Datuk Mohd Jafni turut hadir dalam Program Belanja Dapur Keluarga Angkat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai yang diadakan di Mydin Kulai – satu inisiatif berterusan yang bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam mendapatkan keperluan asas.

Seramai 13 keluarga angkat terlibat dalam fasa kali ini, terdiri daripada 10 keluarga sedia ada dan tiga keluarga baru.

Setiap keluarga menerima sumbangan barangan dapur mencukupi untuk tiga bulan serta wang tunai tambahan.

Datuk Mohd Jafni berkata program seperti itu mencerminkan iltizam Kerajaan Johor untuk bukan sekadar membangunkan prasarana, bahkan memperkukuh jaringan sosial yang menyantuni rakyat secara langsung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg