Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor tawar subsidi RM30,000 bagi rumah prihatin bagi miskin tegar

Jun 27, 2025 | 10:48 AM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (duduk di hadapan), bersama kakitangannya selepas sesi soal jawab bersama Exco secara dalam talian.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (duduk di hadapan), bersama kakitangannya selepas sesi soal jawab bersama Exco secara dalam talian. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerajaan Johor memperkenalkan program Rumah Prihatin Johor yang menawarkan subsidi sehingga RM30,000 ($9,019) seunit kepada rakyat berpendapatan rendah, termasuk kategori khas rumah percuma, Rumah Kasih Johor, bagi golongan miskin tegar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata program itu merupakan daya usaha sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan hanya melibatkan pembinaan rumah produk Johor.

“Rumah Prihatin Johor ada dua kategori. Kategori pertama berharga RM86,000 dengan tiga bilik dan dua bilik air. Dengan subsidi RM30,000, pemohon hanya perlu mendapatkan pinjaman bank sebanyak RM56,000,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Kategori kedua pula melibatkan rumah permulaan berharga RM66,000, dengan dua bilik dan satu bilik air. Ia disasarkan kepada mereka yang tidak layak mendapat pinjaman penuh, justeru hanya memerlukan pinjaman bank sebanyak RM36,000 selepas subsidi RM30,000 diberikan.

Permohonan bermula 27 Jun menerusi borang yang boleh didapati di pejabat wakil rakyat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.

Sebanyak 56 kawasan DUN terlibat, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang kurang penawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat di setiap DUN. Permulaan akan dibuat di DUN Machap dan DUN Bukit Permai,” jelasnya.

Bagi 2025, sebanyak 500 unit diperuntukkan dan kerajaan Johor akan memohon tambahan peruntukan bagi membolehkan projek itu diteruskan setiap tahun.

Pemohon mestilah terdiri daripada mereka yang berpendapatan isi rumah bulanan RM6,000 ke bawah dan memenuhi syarat ditetapkan.

Proses penilaian akan dibuat pada September, termasuk pemberian surat tawaran kepada pemohon yang berjaya.

Menurut Datuk Mohd Jafni, kerajaan negeri turut menawarkan rumah secara percuma (Rumah Kasih Johor) kepada mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar dan berdaftar di bawah sistem eKasih.

Sistem eKasih ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan kerajaan Malaysia bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

“Contohnya, jika pendapatan isi rumah RM3,000 dengan enam ahli keluarga, ini menjadikan pendapatan per kapita bawah RM850 – layak memohon rumah percuma,” katanya.

Permohonan bagi rumah percuma perlu disertakan dengan sokongan daripada wakil rakyat kawasan dan penghulu setempat.

“Inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, terutama golongan rentan, memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat,” ujarnya.

Sehingga kini, 50 unit rumah percuma telah siap dibina manakala 120 unit masih dalam pembinaan untuk 2025.

Beliau berkata maklumat berkaitan Rumah Prihatin Johor dan Rumah Kasih Johor juga telah dikongsikan ketika sesi soal jawab bersama Exco secara dalam talian melalui laman Facebook dan TikTok beliau pada 26 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg