Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor gerakkan solat hajat susulan jerebu, selaras persediaan pembukaan sekolah
Johor gerakkan solat hajat susulan jerebu, selaras persediaan pembukaan sekolah
JOHOR BAHRU: Semua masjid dan surau di Johor digerakkan untuk mengadakan solat hajat selepas solat maghrib mulai 12 Oktober sehingga keadaan jerebu di negeri itu kembali pulih.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata inisiatif tersebut dilaksanakan susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Menurutnya, solat hajat itu bertujuan memohon pertolongan dan perlindungan Allah agar kualiti udara kembali baik serta kesihatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara.
“Seluruh umat Islam di Negeri Johor diseru untuk bersama-sama menyertai solat hajat serta memperbanyakkan doa dan munajat agar keadaan jerebu dapat diatasi, segala urusan dipermudahkan dan seluruh rakyat sentiasa berada dalam rahmat serta perlindungan Allah swt,” katanya dalam kenyataan pada 12 Oktober.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut menyelaras tindakan menghadapi jerebu, khususnya berhubung pengoperasian sekolah, keselamatan murid dan kebajikan warga pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata antara perkara yang dipersetujui dan diberikan perhatian ialah pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi.
Turut diberi perhatian ialah penubuhan pasukan petugas khas Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk memantau perkembangan jerebu serta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian sebelum murid kembali ke sekolah.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada 12 Oktober selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor.
Mesyuarat itu melibatkan JPNJ, Pejabat Pendidikan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, wakil ibu bapa serta agensi berkaitan.
Dr Naqib turut menekankan keperluan memaklumkan lebih awal sebarang keputusan menutup atau membuka semula sekolah, tertakluk kepada prosedur dan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Perkara ini penting supaya ibu bapa, penjaga, guru dan pihak sekolah mempunyai ruang serta masa yang mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat turut mencadangkan pemantauan dan penilaian keadaan jerebu dilakukan setiap hari pada 12 tengah hari menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Langkah itu perlu disertai penyampaian keputusan dan maklumat rasmi yang jelas, tepat serta konsisten kepada masyarakat.
Dr Naqib berkata keputusan berhubung sekolah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keadaan persekitaran, risiko kesihatan, keselamatan murid dan kesiapsiagaan pihak berkaitan.
“Percayalah, setiap keputusan yang dibuat bukan sekadar melihat kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semata-mata, tetapi turut mengambil kira keadaan persekitaran, risiko kesihatan, keselamatan murid serta kesiapsiagaan semua pihak.
“Kita tidak mahu anak-anak terdedah kepada risiko kesihatan yang boleh dielakkan. Namun, dalam masa yang sama, kita juga mahu memastikan kelangsungan pendidikan mereka tidak terjejas lebih daripada yang diperlukan,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan murid dapat kembali mengikuti pembelajaran dalam persekitaran yang selamat.