Johor giat tarik pelancong S’pura sempena Tahun Melawat Johor 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor giat tarik pelancong S’pura sempena Tahun Melawat Johor 2026

Sebanyak 170 acara disusun, promosi hingga ke Lapangan Terbang Changi dan pakej Ramadan antara tarikan utama
Feb 11, 2026 | 1:04 PM

Johor giat tarik pelancong S’pura sempena Tahun Melawat Johor 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, Johor, Tahun Melawat Johor 2026, Festival Layang-Layang, Onn Hafiz Ghazi
Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, menerbangkan layang-layang maskot Tahun Melawat Johor 2026, Cuping dan Jucy, di Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Kerajaan Johor sedang mempergiat usaha menarik lebih ramai pelancong dari Singapura sempena Tahun Melawat Johor 2026 melalui pelbagai strategi promosi, termasuk pengiklanan di Republik itu serta penawaran pakej pelancongan dan penginapan lebih menarik.

Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata negeri itu telah menyusun hampir 170 acara sepanjang 2026, dengan kira-kira 80 hingga 90 daripadanya bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata festival besar seperti Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang menjadi pembuka tirai penting kalendar pelancongan negeri pada awal tahun kerana melibatkan penyertaan antarabangsa.

“Festival ini antara acara paling meriah kerana menghimpunkan kira-kira 56 pasukan dari luar negara merentasi enam benua.

“Ini menunjukkan Johor sudah berada di pentas antarabangsa dan menjadi tarikan awal kepada pelancong luar,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut beliau, selain penganjuran acara berskala besar, Tourism Johor turut melaksanakan promosi agresif khusus menyasarkan rakyat Singapura.

“Kita sudah mula masuk media di Singapura termasuk media dalam talian dan radio, selain membuat promosi di Lapangan Terbang Changi.

“Tujuannya bukan sahaja menarik pelancong Singapura, malah pelancong antarabangsa yang menggunakan Changi sebagai pintu masuk ke rantau ini untuk singgah ke Johor,” katanya.

Encik Mohammad Nazrul berkata usaha promosi itu telah dimulakan sejak penghujung 2025 dan akan diteruskan sepanjang 2026.

Beliau menambah, Johor juga menawarkan pelbagai pakej pelancongan baru bagi meningkatkan tarikan, termasuk kehadiran hotel baru yang memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

“Kita tahu tukaran mata wang memberi kelebihan kepada pelancong Singapura, jadi kita sediakan pilihan penginapan dan perkhidmatan yang baik pada harga berpatutan,” katanya.

Dalam masa sama, kedatangan Ramadan turut dijangka menjadi antara tarikan utama, khususnya kepada pengunjung dari Singapura.

Menurutnya, banyak hotel di Johor akan menawarkan hidangan berbuka puasa pada harga lebih mampu dinikmati.

“Pengunjung bukan sahaja boleh berbuka puasa di Johor, malah boleh bermalam, beribadah dan menikmati suasana Ramadan di sini,” katanya.

Menurutnya, Tourism Johor menggalakkan rakyat Malaysia dan Singapura menyertai pelbagai acara yang disediakan sepanjang Tahun Melawat Johor 2026.

“Kita jemput semua rakyat Johor, rakyat Malaysia dan juga pelancong luar negara untuk memeriahkan acara yang telah disusun,” katanya.

Beliau menegaskan strategi itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan serantau yang mudah diakses serta dekat dengan pengunjung Singapura.

Johor menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sasaran itu akan dijayakan menerusi beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk pemasaran dan promosi Majestic Johor, penambahbaikan prasarana pelancongan, penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa dan pengenalan destinasi pelancongan mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg