Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor kekal penyumbang terbesar sektor pertanian M’sia, catat jualan RM27.2 bilion

Jun 20, 2025 | 4:05 PM
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu (depan, tengah) bersama Exco-Exco pertanian negeri-negeri dalam Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu (depan, tengah) bersama Exco-Exco pertanian negeri-negeri dalam Malaysia. - Foto FACEBOOK MOHAMAD SABU

Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama sektor pertanian Malaysia apabila berjaya mencatat nilai jualan mencecah RM27.2 bilion ($8.23 bilion), sekali gus mengekalkan status sebagai penyumbang terbesar kepada industri pertanian negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata dapatan interim Banci Pertanian 2024 yang dibentangkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Mesyuarat Exco-Exco Pertanian Negeri di Putrajaya pada 19 Jun, mengesahkan prestasi cemerlang Johor dalam sektor tersebut.

“Syukur, Johor terus memainkan peranan utama dalam menerajui sektor pertanian negara. Usaha berterusan untuk memastikan sektor ini terus berkembang, berdaya saing dan inklusif akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Jun.

Tambahnya mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang menjadi platform penting untuk menyelaras dasar dan cadangan pembangunan sektor pertanian serta agromakanan di seluruh negara.

Datuk Zahari menambah, Kerajaan Negeri turut memberikan tumpuan kepada pemerkasaan kumpulan sasar seperti petani, penternak dan nelayan, khususnya menerusi perancangan Belanjawan Johor 2026.

Menurutnya, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut memberi perhatian khusus kepada sektor keterjaminan makanan dengan menggalakkan aktiviti pertanian moden dan berteknologi tinggi yang mampu meningkatkan pengeluaran agromakanan berkualiti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kelulusan peruntukan khas sebanyak RM23.4 juta kepada negeri Johor bagi pelaksanaan 20 program dan projek pertanian sepanjang tahun 2025.

“Kami komited memastikan pelaksanaan program strategik ini berjalan lancar dan memberi impak maksimum kepada pembangunan sektor pertanian negeri,” katanya.

Datuk Zahari juga mengutarakan cadangan kepada kementerian agar penyaluran bantuan bencana kepada pengusaha terjejas seperti petani dan nelayan dapat dipercepat, khususnya dalam kes bencana banjir yang sering menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan memperuntukkan RM300 juta kepada negeri-negeri melalui Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah bagi tahun 2024 dan 2025, meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Tahun 2024, RM150 juta diperuntukkan. Maka, peningkatan kali ini membuktikan komitmen padu kita untuk manfaatkan sepenuhnya potensi tanah yang ada demi memperkukuh pengeluaran makanan negara,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus diperkasa bagi memastikan keterjaminan makanan negara dapat ditingkatkan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg