Sebanyak RM23.4 juta ($7.09 juta) diperuntukkan bagi memperkasa sektor agromakanan Johor menerusi pelaksanaan 20 program dan projek berimpak tinggi bagi 2025, termasuk dalam bidang pertanian moden, industri asas tani dan pembangunan belia tani.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata peruntukan itu diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor.
Jumlah itu merangkumi peruntukan RM9.25 juta bagi Fasa 1 (Februari 2025) dan RM14.15 juta bagi Fasa 2 (Jun 2025).
“Ia meliputi usaha untuk memperkasa amalan pertanian moden, merancakkan industri asas tani dan industri akuakultur, meningkatkan pengeluaran industri tenusu menerusi projek, Jemaluang Dairy Valley (JDV), dan menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
“Ia juga akan digunakan untuk tujuan pembangunan industri nanas dan sawah padi, menaik taraf kemudahan pasar tani kekal dan pembangunan agropelancongan serta memperkasa belia tani di negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Jun.
Menurut Datuk Zahari, kerajaan negeri Johor akan memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap program dan projek itu dilaksanakan dengan jaya demi memartabatkan lagi sektor agromakanan di dalam negeri dan Malaysia amnya.
“Usaha ini diyakini akan menghasilkan limpahan manfaat kepada seluruh bangsa Johor,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Datuk Zahari, turut memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar melalui daya usaha pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan sosial dan ekonomi.
Beliau berkata kerajaan negeri Johor tidak meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya di bahu Kemas semata-mata, sebaliknya meneruskan kerjasama strategik dengan agensi itu secara berterusan.
Kerajaan negeri juga telah menyalurkan RM13.6 juta sejak 2014 bagi pelaksanaan Program Iqra’ dan Fardu Ain (Iqfa), yang memberi manfaat kepada lebih 56,000 anak-anak tabika di seluruh negeri.
Sebanyak RM1.8 juta turut diperuntukkan bagi 2025 untuk meneruskan pelaksanaan program itu.
Beliau berkata seluruh warga Kemas digalakkan agar terus memainkan peranan sebagai ejen penyampai maklumat berhubung dasar Kerajaan Negeri kepada masyarakat, termasuk agenda Maju Johor dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg