Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor keluarkan lebih 4,600 keluarga dari kategori miskin tegar

May 28, 2025 | 10:23 AM
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor): Usaha berterusan Kerajaan Johor dalam membasmi kemiskinan tegar semakin membuahkan hasil apabila lebih 4,600 isi rumah berjaya dikeluarkan daripada kategori itu.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata daripada jumlah itu sebanyak 234 isi rumah dibantu kerajaan negeri dalam tempoh empat bulan pertama 2025.

“Saya dimaklumkan bahawa pada fasa pertama 2024, kerajaan negeri telah membantu seramai 4,378 ketua isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin tegar.

“Mereka tidak lagi diklasifikasikan dalam kategori miskin tegar bermula 31 Julai 2024. Manakala pada tahun 2025 sehingga 29 April, sebanyak 234 isi rumah lagi telah berjaya dikeluarkan daripada kategori berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, lapor The Star.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan memerlukan.

“Saya menghargai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan hasrat membasmi kemiskinan tegar di Johor.

“Komitmen ini jelas menunjukkan keprihatinan dan iltizam kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat,” kata Tunku Ismail.

Beliau turut menekankan bahawa kesejahteraan rakyat tidak harus diabaikan meskipun Johor sedang menuju ke arah negeri maju.

“Saya berharap rakyat Johor diberikan keutamaan dalam peluang pekerjaan dan lebih banyak usaha dilakukan untuk mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

“Pertumbuhan ekonomi Johor harus memberi manfaat kepada semua rakyat. Pendapatan rakyat juga perlu ditingkatkan agar dapat menampung peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail turut menekankan kepentingan perumahan mampu milik bagi rakyat negeri ini.

“Perumahan untuk rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan keluarga Diraja Johor.

“Melalui Skim Perumahan Mampu Milik Johor (RMMJ), setiap rakyat Johor seharusnya berpeluang memiliki rumah tanpa dibebani kos yang melampau.

“Sehingga Mac 2025, sebanyak 21,000 unit RMMJ telah disiapkan, iaitu 70 peratus daripada sasaran 30,000 unit menjelang tahun 2026. Daripada jumlah itu, sebanyak 16,000 unit telah didiami,” katanya.

Pada April lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan perancangan kerajaan negeri untuk membina 50,000 lagi rumah mampu milik menjelang 2029, selepas berjaya menyiapkan 16,000 unit dalam tempoh tiga tahun lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg