Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

TMJ: Fokus kepada rakyat, jangan jadikan DUN Johor bahan ketawa

May 16, 2025 | 3:55 PM
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto UNIT MEDIA DAN KOMUNIKASI PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor Bahru): Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) agar menumpukan perhatian kepada tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat dan tidak menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai bahan jenaka.

Beliau berkata DUN bukan medan untuk bertelagah, meluahkan emosi atau mengejar kepentingan politik peribadi, sebaliknya wadah penting untuk merangka dasar, meluluskan undang-undang dan memperjuangkan kebajikan rakyat negeri Johor.

“Saya berharap keharmonian yang telah menjadi tradisi DUN Johor sejak sekian lama dapat terus dikekalkan.

“Jangan biarkan pertelingkahan menjadi kebiasaan dan menjadikan dewan yang mulia ini bahan ketawa rakyat,” katanya ketika merasmikan penggal keempat Sidang DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, lapor The Star.

Tunku Ismail turut mengingatkan wakil rakyat bahawa Johor tidak berada dalam musim pilihan raya, sebaliknya mereka telah diamanahkan rakyat untuk berkhidmat secara berkesan.

“Ingat, ini bukan musim pilihan raya. Kamu semua telah dipilih untuk menjalankan amanah rakyat.

“Tumpukan kepada tanggungjawab itu. Rakyat Johor memerlukan wakil yang bertanggungjawab dan benar-benar berkesan dalam memberikan perkhidmatan,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Tunku Ismail mendedahkan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Universiti Harvard bagi membangunkan kursus latihan profesional untuk pegawai Perkhidmatan Awam Johor (JCS).

Langkah itu, menurut beliau, adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan pegawai pentadbiran negeri dengan pengetahuan global serta kemahiran kepimpinan yang memenuhi keperluan semasa.

“Sebagai permulaan, kerajaan negeri menerusi Dana Pendidikan Permodalan Darul Ta’zim telah menaja pegawai kanan JCS mengikuti kursus pembangunan profesional bertaraf dunia di institusi antarabangsa, termasuk universiti Ivy League di Amerika Syarikat.

“Saya juga telah menitahkan agar kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan Universiti Harvard untuk meneroka pendekatan baru dalam pembangunan kursus profesional di Johor,” katanya.

Tunku Ismail menegaskan bahawa inisiatif itu penting kerana pegawai JCS merupakan tulang belakang pentadbiran negeri dan berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dengan rakyat.

“Saya percaya ini adalah pelaburan strategik bagi masa depan Johor. Saya mahu negeri ini memiliki pegawai pentadbiran yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek teknikal dan pentadbiran, tetapi juga berfikiran kritis, mampu membuat keputusan tepat, serta mempunyai daya tahan menghadapi cabaran masa depan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg