Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor Khabib Gym jadi hab sukan moden, standard latihan bertaraf dunia

Nov 19, 2025 | 12:15 PM
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (tengah), bersama bekas juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC), Encik Khabib Nurmagomedov (kanan), ketika  Majlis Pecah Tanah Johor Khabib Gym di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) Iskandar Puteri pada 18 November.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (tengah), bersama bekas juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC), Encik Khabib Nurmagomedov (kanan), ketika  Majlis Pecah Tanah Johor Khabib Gym di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) Iskandar Puteri pada 18 November. - Foto FACEBOOK HRH CROWN PRINCE OF JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor): Projek pembinaan Johor Khabib Gym di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) di sini bukan sekadar membina infrastruktur sukan.

Sebaliknya, ia membina generasi belia yang berdisiplin dan mewujudkan hab sukan moden dengan standard latihan bertaraf dunia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bagi memastikan modul latihan Khabib Gym bermutu, gimnasium berkenaan akan dibimbing pasukan Encik Khabib Nurmagomedov yang terdiri daripada jurulatih profesional dalam seni mempertahankan diri.

“Kerjasama ini akan menyediakan atlet Johor dengan akses kepada teknik, disiplin, dan bimbingan di peringkat antarabangsa menggunakan asas sama yang membentuk juara dunia.

“Dengan kepimpinan dan visi Pemangku Sultan Johor, kami yakin Johor akan kekal di barisan hadapan dalam inovasi sukan dan pembangunan belia di Johor dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Johor Khabib Gym di TMIYC Iskandar Puteri pada 18 November yang disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama barisan Exco kerajaan negeri, Duta Sukan Johor, Datuk Seri Lee Chong Wei dan Encik Sonny Bill Williams, lapor MalaysiaGazette.

Gimnasium berkenaan dilengkapi beberapa komponen utama termasuk tempat pertarungan gim, dewan serbaguna dan gelanggang ‘octagon’ yang mampu menampung sehingga 1,000 orang dengan keluasan binaan 37,000 kaki persegi.

Sementara itu, bekas juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC), Encik Khabib merangkap Duta Sukan Johor, gembira dengan pembukaan gimnasium berkenaan.

Beliau turut memuji ilham yang diberikan Tunku Ismail yang amat menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan karakter dalam kalangan generasi muda.

“Suatu hari nanti saya berharap projek ini akan melahirkan bukan satu tapi ramai anak muda, orang baik, terpelajar dan kuat hasil daripada gim ini.

“Ini adalah harapan terbesar saya dan ini adalah satu sebab mengapa saya membuka gim Khabib di Johor,” ujarnya.

Terdahulu, pada 3 Disember 2024, Datuk Onn Hafiz bersama delegasi Kerajaan Johor mengadakan perjumpaan dengan Encik Khabib di Abu Dhabi bagi membincangkan pelaksanaan program pembangunan belia serta rancangan pembukaan gimnasium rasmi Khabib di Johor.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Encik Khabib bagi penubuhan Johor Khabib Gym.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg