Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Legenda sukan dunia bakal kunjungi Johor pada Nov

Oct 30, 2025 | 3:48 PM
lagenda, lawat, Johor
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri) bersama Khabib Nurmagomedov (kiri) ketika pertemuan di Abu Dhabi pada 2024. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Johor bakal menerima kunjungan istimewa daripada legenda sukan dunia, Khabib Nurmagomedov, dijadual pada November.

Lawatan tersebut dijangka menjadi detik bersejarah apabila turut disertai Majlis Pecah Tanah Khabib Gym Johor – sebuah pusat latihan bertaraf antarabangsa berteraskan pembangunan sukan serta pembentukan sahsiah dan nilai murni.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata lawatan bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight itu mencerminkan kerjasama global berimpak tinggi dalam memperkukuh peranan Johor sebagai hab sukan dan pembangunan bakat terkemuka di rantau ini.

“Menjunjung kasih Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas visi dan kepimpinan beliau dalam memartabatkan sukan negeri hingga mengangkat Johor ke pentas dunia.

“Kehadiran Khabib ke bumi Johor merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dunia sukan, tetapi juga kepada seluruh rakyat Johor yang menjunjung nilai kecemerlangan, disiplin, dan semangat juang tanpa menyerah,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Oktober.

Beliau menyeru rakyat Johor menantikan kehadiran bintang sukan dunia itu yang disifatkan mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda.

“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai juara dari bumi Johor yang dapat mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, pada 3 Disember 2024, Datuk Onn Hafiz bersama delegasi Kerajaan Johor mengadakan perjumpaan dengan Khabib di Abu Dhabi bagi membincangkan pelaksanaan program pembangunan belia serta rancangan pembukaan gimnasium rasmi Khabib di Johor.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Khabib bagi penubuhan Khabib Gym Johor.

Delegasi kerajaan Johor turut berpeluang melawat The Eagle MMA Gym di Abu Dhabi-pusat latihan milik Khabib yang dilengkapi kemudahan sukan bertaraf dunia seperti gelanggang seni mempertahankan diri, ruang latihan kardio dan angkat berat, serta kemudahan pemulihan termasuk sauna dan kolam renang.

“Saya amat kagum melihat sendiri kemudahan yang disediakan di gim berkenaan. Ia bukan sahaja menumpukan pada latihan fizikal, tetapi turut mendidik disiplin dan nilai perjuangan dalam kalangan atlet,” ujar Datuk Onn Hafiz.

Terdahulu, pada 1 Oktober 2024, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, telah menerima kunjungan Khabib di Istana Bukit Serene.

Dalam pertemuan tersebut, beliau dan Khabib membincangkan cadangan pembukaan gimnasium latihan rasmi Khabib di Johor serta peluang memperkasa program pembangunan belia menerusi pendekatan sukan dan kepimpinan berteraskan nilai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg