Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah berjaya menjadikan Johor sebagai pintu masuk pelaburan serantau dengan membawa masuk pelaburan bermutu tinggi hasil usaha promosi antarabangsa yang proaktif, tersusun dan tertumpu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata sehingga suku ketiga 2025, Johor telah mencatat jumlah pelaburan komited sebanyak RM91.1 bilion ($28.6 bilion).
Jumlah tersebut mengatasi negeri lain termasuk Selangor (RM51.9 bilion); Wilayah Persekutuan (RM45.9 bilion); dan Pulau Pinang (RM23.7 bilion).
“Angka itu turut meletakkan Johor pada landasan mencapai sasaran RM100 bilion pelaburan bagi 2025 sahaja, sekali gus mengatasi jumlah pelaburan gabungan 2023 (RM43 bilion) dan 2024 (RM48.5 bilion).
“Prestasi luar biasa ini bukan sekadar misi diplomatik; ia membawa pulang hasil ekonomi yang nyata, besar dan segera kepada negeri,” katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada 18 November.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Encik Tan Eng Meng (Persatuan Cina Malaysia-Pekan Nanas) mengenai perancangan promosi pelaburan antarabangsa Johor.
Mengulas mengenai kesinambungan usaha selepas misi pelaburan ke Britain dan Amerika Syarikat pada September, Encik Lee berkata Kerajaan Johor melalui, Invest Johor, dan agensi berkaitan telah merangka beberapa siri tindakan susulan yang menumpukan kepada tiga teras utama.
Ia termasuk lawatan balas pelabur, penyertaan dalam forum pelaburan sejagat, serta pengukuhan jaringan diplomatik pelaburan bersama agensi luar negara.
Menurutnya, beberapa syarikat antarabangsa yang ditemui ketika misi terdahulu telah menyatakan minat mahu melakukan lawatan balas ke Johor pada suku pertama 2026 bagi meninjau tapak industri dan memperincikan potensi pelaburan.
“Ini akan memberi ruang kepada Johor mempersembahkan kelebihan strategiknya termasuk tenaga kerja berkemahiran, prasarana moden dan ekosistem pelaburan yang semakin matang,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Johor telah menyertai Forum Pelaburan Bersama JS-SEZ Kedua yang dianjurkan Enterprise Singapore pada 14 Oktober, melibatkan kerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan agensi pelaburan kedua-dua negara.
“Forum itu bertujuan menyampaikan perkembangan pelaksanaan JS-SEZ dan memperkukuh keyakinan masyarakat pelabur terhadap potensi kerjasama rentas sempadan ini,” katanya.
Selain itu, Encik Lee berkata satu sesi taklimat khusus bersama pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di luar negara (Mida Overseas Centres) telah diadakan pada 27 Oktober 2025 bagi menyelaraskan naratif pelaburan Johor dalam rangka promosi sejagat Malaysia.
Mengenai strategi pembangunan bakat dan teknologi, beliau menjelaskan misi pelaburan ke Amerika telah membuka pendedahan menyeluruh kepada rantaian nilai teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sejagat.
Delegasi Johor berpeluang mengadakan libat urus bersama syarikat terkemuka seperti Nvidia, Brooks Automation, Pivotal Systems, SuperMicro dan Equinix, selain melawat OpenAI bagi memahami perkembangan teknologi AI terkini.
Lawatan ke Universiti Stanford, Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pula membuka laluan penting ke arah kerjasama penyelidikan serta pembangunan bakat yang akan menjadi asas kepada dasar AI negeri.
Sehubungan itu, misi galakan pelaburan dan kerjasama pendidikan ke China akan dilaksanakan pada Disember 2025 dengan tumpuan kepada sektor robotik, automasi industri, AI, bioteknologi dan teknologi tenaga bersih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg