Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JS-SEZ mampu jadi model kerjasama rentas sempadan Asean

Oct 13, 2025 | 1:05 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han (tengah), ketika menghadiri Persidangan Asia Future Summit 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han (tengah), ketika menghadiri Persidangan Asia Future Summit 2025. - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi model kerjasama lintas sempadan yang bukan sekadar tertumpu kepada pelaburan, tetapi turut membentuk norma dan ekosistem baru dalam rantau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Asia Future Summit 2025 yang bertemakan “Navigating a Fractured World” di Singapura.

Tambahnya persidangan tersebut membincangkan pelbagai isu geopolitik, ekonomi, sosial dan teknologi dibincangkan dalam konteks dunia yang semakin mencabar dan berpecah.

“Di era penyusunan semula rantaian bekalan dan ketidaktentuan hubungan antara negara, Asean muncul sebagai kawasan yang stabil dari segi dasar serta kerjasama serantau. Kita tidak boleh sekadar menanti perubahan, sebaliknya mesti menjadi pembentuk kepada perubahan itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Oktober.

Menurut Encik Lee, antara manifestasi nyata semangat kerjasama serantau itu ialah pelaksanaan JS-SEZ yang mampu membuka jalan baru bagi kerjasama “dua hala” yang lebih menyeluruh, bukan hanya dari segi pelaburan, tetapi juga dalam bidang teknologi, mobiliti bakat dan pembangunan perniagaan berdaya saing.

Dalam sesi panel persidangan tersebut, beliau menekankan tiga perkara penting yang perlu diberi tumpuan dalam pembangunan JS-SEZ.

“Pertama, prasarana fizikal dan digital JS-SEZ mesti dibangunkan dengan pandangan jangka panjang meliputi logistik, hab data, tenaga bersih dan sambungan lintas sempadan.

“Kedua, dasar dan peraturan antara Malaysia melalui Johor dan Singapura perlu diharmonikan, disertai insentif yang jelas serta konsisten supaya pelabur berasa yakin,” ujarnya.

“Ketiga, ekosistem perniagaan mestilah inklusif. Ia bukan sekadar memberi ruang kepada syarikat besar asing, tetapi juga kepada syarikat tempatan, bakat tempatan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) supaya turut berkembang. Jika kita mengabaikan hal ini, ketidakseimbangan ekonomi akan berlaku,” tambah beliau.

Encik Lee turut menyatakan keyakinan bahawa Johor dan Singapura berpotensi menjadi lebih daripada sekadar “pintu masuk” ke Asia Tenggara, sebaliknya menjadi nadi utama pertumbuhan rantau ini.

“Dengan dasar yang jelas, prasarana yang cemerlang dan komitmen sosial-ekonomi yang teguh, kita mampu menjadikan rantau ini sebagai mesin pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa masa depan negara dan rantau ini tidak seharusnya ditentukan oleh kuasa besar dunia semata-mata.

“Dalam dunia yang semakin terpecah-belah, masa depan kita bergantung kepada kemampuan kita untuk bekerjasama, menyambung dan membina bersama. Johor perlu berani mengambil peluang yang ada, bukan sekadar menunggu peluang datang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg