Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor mahu kaji model pasar Geylang Serai

MB Johor: Konsep kemudahan awam yang teratur, bersih dan mesra pengguna wajar dikaji bagi sokong ekonomi rakyat
Aug 5, 2025 | 1:50 PM
Menteri Besar Johor, kaji model pasar Geylang Serai
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), bersalaman bersama pengunjung di Pusat Penjaja dan Pasar Geylang Serai semasa mengadakan lawatan ke situ. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Kerajaan Johor melihat potensi besar untuk mengadaptasi model pengurusan Pusat Penjaja dan Pasar Geylang Serai bagi memperkukuh sistem pengurusan pasar awam dan pusat penjaja di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata lawatan kerja beliau bersama delegasi ke kompleks berkenaan pada 2 Ogos memberi peluang untuk meneliti secara dekat pendekatan tersusun, bersih dan terangkum yang dilaksanakan pihak berkuasa Singapura melalui Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Kompleks dua tingkat yang menjadi mercu tanda masyarakat Melayu di Singapura itu menempatkan 302 lot pasar basah dan 63 gerai makanan halal, sekali gus berfungsi sebagai pusat kegiatan ekonomi dan lambang warisan budaya setempat.

Menurutnya, antara aspek menarik yang diamalkan termasuk kadar sewa terkawal bagi menjamin harga makanan kekal berpatutan, sistem gred kebersihan yang ketat, latihan wajib bagi pengendali makanan, serta penguatkuasaan menggunakan teknologi seperti kamera litar tertutup, sistem denda elektronik dan sensor pintar bagi pemantauan kebersihan serta kesesakan.

“Selain itu, pengurusan melalui model perusahaan sosial yang menumpukan kepada pemerkasaan peniaga kecil dan mengekalkan keseimbangan sosial wajar diteliti.

“Pendekatan ini relevan untuk dilaksanakan di Johor, terutama bagi menyokong ekonomi rakyat, khususnya golongan mikro, B40 (warga bergaji rendah) dan usahawan kecil,” katanya.

Kerajaan negeri, tegasnya, akan terus mengkaji kaedah terbaik seperti itu untuk diterjemahkan dalam dasar tempatan bagi memperkukuh sektor ekonomi rakyat melalui kemudahan awam yang lebih teratur, bersih dan mesra pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, yang turut serta dalam lawatan berkenaan, berkata Geylang Serai bukan sahaja pusat penjaja moden bahkan juga nadi masyarakat setempat yang menggabungkan fungsi sosial, ekonomi dan budaya secara bersepadu.

Beliau berkata lawatan itu membolehkan Johor meneliti sendiri kaedah pengurusan pasar awam dan pusat penjaja yang berkesan, teratur serta mesra pengguna.

“Antara inisiatif menarik ialah baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang diberikan pemerintah Singapura kepada semua isi rumah untuk dibelanjakan di kedai, pasar dan gerai penjaja tempatan berdaftar.

“Nilainya boleh mencecah sehingga $500 setahun, bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup sambil menyokong peniaga kecil.

“Baucar ini tidak boleh digunakan di pasar raya besar, menjadikannya bantuan bersasar yang telus dan terus sampai kepada akar ekonomi rakyat,” jelasnya di Facebook beliau.

Beliau turut memuji disiplin tinggi yang ditunjukkan dalam kawalan lesen, perancangan bandar, penyediaan tapak niaga selesa dan pemantauan berjadual.

Menurutnya, model itu boleh disesuaikan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan utama di Johor seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan Majlis Perbandaran Pontian.

“Dengan kemudahan pasar moden yang bermutu tinggi, imej perniagaan kecil dan sederhana dapat dipertingkat, kepentingan pengguna terpelihara, dan suasana niaga lebih selamat serta berdaya saing dapat diwujudkan,” katanya.

Menurutnya, kawasan sekitar Geylang Serai turut dilengkapi kemudahan masyarakat seperti dewan orang ramai, laluan berbumbung mesra warga emas, ruang solat, taman kecil dan papan maklumat digital – semuanya dirancang secara menyeluruh untuk kemudahan semua lapisan pengguna.

“Segala input ini akan dibawa pulang untuk dimasukkan ke dalam pelan tindakan penambahbaikan pengurusan pasar awam dan pusat penjaja di Johor, selaras dengan agenda Maju Johor dan reformasi kerajaan tempatan yang sedang dilaksanakan.

“Matlamat kami adalah mewujudkan persekitaran niaga yang cekap, berkualiti dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg