Kerajaan Johor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan, dengan tujuan membendung masalah itu sebelum menjejaskan kesejahteraan generasi muda dan masa depan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, berkata jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin.
“Jawatankuasa kecil telah dibentuk pada 14 Ogos selepas mendapat nasihat daripada Isteri Pemangku Sultan Johor, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam, manakala perbincangan khusus untuk penyelarasan rasmi akan diadakan pada 18 Ogos bagi membincangkan aktiviti dan kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan secara bersama.
“Kerajaan negeri juga akan memanggil agensi kerajaan lain seperti polis dan jabatan kesihatan bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap isu buli yang kini semakin berleluasa di media sosial, selain memberi sokongan berterusan terhadap kebajikan kanak-kanak di Johor.
“Kami memandang serius ancaman buli dan komited membanterasnya melalui pelbagai inisiatif pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Cik Khairin-Nisa menegaskan, portfolio beliau akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pihak berkuasa bagi melaksanakan tindakan pencegahan, campur tangan dan pemulihan mangsa buli.
Usaha ini bertujuan memastikan setiap individu khususnya kanak-kanak dan remaja berada dalam persekitaran yang selamat, dihormati dan bebas daripada sebarang bentuk buli.
“Buli merosakkan keyakinan, mencuri kebahagiaan dan meninggalkan parut yang tidak kelihatan, atas sebab itu kita perlu bersama membina persekitaran yang selamat dan menolak sekeras-kerasnya segala bentuk buli,” katanya.
Sementara itu, Encik Aznan berkata kerajaan negeri memandang serius isu buli yang semakin menular dalam kalangan pelajar kerana ia bukan sahaja mengganggu emosi dan keselamatan murid, malah mampu menjejaskan perkembangan akademik mereka.
Menurutnya, melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan kerjasama erat pelbagai agensi, jawatankuasa khas ini akan menjadi platform penyelarasan bagi semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, masyarakat setempat, agensi keselamatan dan pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian berkesan.
“Antara fokus utama jawatankuasa ini ialah melaksanakan pemantauan berterusan, menyediakan saluran aduan yang lebih mudah diakses, mengadakan kempen kesedaran di sekolah, dan memberi sokongan kaunseling kepada mangsa buli.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan. Usaha membanteras buli memerlukan peranan aktif semua pihak.
“Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat, harmoni dan kondusif untuk anak-anak kita belajar dan membina masa depan. Buli bukan budaya Johor, bersama kita hentikan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg