Johor terus kukuh sebagai destinasi pelaburan strategik serantau susulan dialog pelaburan peringkat tinggi di China yang berjaya menghimpunkan puluhan syarikat utama dari sektor bernilai tinggi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjelaskan pertemuan itu membuka ruang perbincangan terbuka mengenai hala tuju pembangunan negeri, sambil mendengar terus pandangan dan jangkaan pelabur antarabangsa terhadap dasar utama negeri, khususnya pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau dan delegasi Johor turut mengadakan sesi dialog pelaburan strategik di Beijing, melibatkan 53 syarikat terkemuka dalam sektor industri termaju, tenaga, logistik, teknologi dan perkhidmatan.
“Johor bersedia menerima pemain industri baru yang ingin mengembangkan operasi mereka di negeri ini, dengan sokongan dasar yang jelas, proses yang tersusun dan tenaga kerja berkemahiran,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Januari.
Sesi anjuran bersama OCBC Bank dan Bank of Ningbo itu bertujuan membuka lebih banyak peluang pelaburan bermutu tinggi ke Johor.
Pendekatan dialog dua hala tersebut, tambah beliau, amat penting untuk mewujudkan keadaan saling menguntungkan antara Johor dengan rakan pelaburan sejagat.
Datuk Onn Hafiz menekankan komitmen Kerajaan Johor bahawa negeri itu memiliki asas ekonomi kukuh, dasar yang stabil serta ekosistem kondusif untuk pertumbuhan jangka panjang.
“Beberapa inisiatif utama negeri diketengahkan, termasuk peranan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) sebagai pemudah cara pelaburan serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang memacu pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri berkemahiran tinggi,” ujarnya.
Beliau turut menyaksikan pelancaran Friends of Johor, sebuah wadah strategik sebagai jambatan pelaburan jangka panjang antara Johor dengan rakan strategik di China.
Daya usaha itu berfungsi sebagai saluran pelaburan berterusan bagi memastikan projek yang dirancang dapat dilaksana dengan lebih lancar, selaras dan berimpak tinggi.
Lawatan rasmi ke China itu, kata Datuk Onn Hafiz, turut merangkumi sesi perbincangan meja bundar di Shanghai bersama Maybank dan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MayCham), yang menghimpunkan lebih 30 pelabur serta syarikat utama dari China.
“Melalui kerangka JS-SEZ, Johor terus dijadikan destinasi pelaburan utama dengan tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti industri termaju, tenaga bersih, logistik pintar, kewangan digital, industri halal dan kesihatan, yang mampu membuka peluang pekerjaan bermutu kepada rakyat Johor,” katanya.
Kerjasama rapat dengan rakan strategik antarabangsa, tegas beliau, penting bagi menyokong kemasukan pelabur ke Johor secara teratur dan berkesan, sekali gus memastikan limpahan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh oleh Bangsa Johor.
Lawatan kerja itu diakhiri dengan pertemuan bersama ByteDance, sebuah syarikat teknologi sejagat berteras kecerdasan buatan (AI) yang terkenal melalui wadah seperti TikTok, Douyin dan CapCut, serta antara peneraju utama ekonomi digital dunia.
Datuk Onn Hafiz berkata pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh komitmen jangka panjang ByteDance di Johor, berlandas pelaburan pusat data berskala besar melebihi RM29.5 bilion ($9.3 bilion) di Malaysia.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama peringkat seterusnya yang melangkaui pembangunan prasarana, merangkumi operasi serantau, kecerdasan buatan dan pembangunan ekosistem kandungan digital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg