Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor sasar 20,000 pengunjung di Expo perniagaan pada Okt

Aug 28, 2025 | 12:01 PM
Expo, perniagaan
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah. - Foto FACEBOOK HAIRI MD SHAH

JOHOR BAHRU: Penyertaan hampir 10 negara termasuk Indonesia, Singapura, China, Amerika Syarikat, Italy, Jerman, Canada dan Kemboja disahkan bagi Johor Business Summit and Expo 2025 yang dijadualkan pada 25-26 Oktober dan dijangka menarik kehadiran 20,000 pengunjung.

Majlis Pra Pelancaran acara itu berlangsung pada 27 Ogos di Menara IIB, Iskandar Puteri, dan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah.

Encik Mohd Hairi berkata sambutan luar biasa ini membuktikan Johor semakin dikenali sebagai medan pertemuan usahawan tempatan dan antarabangsa.

Beliau menegaskan semua lapisan peniaga, daripada yang berniaga kecil di tepi jalan hingga pengusaha kilang dan gudang, dialu-alukan untuk memanfaatkan peluang besar itu.

Penganjuran dua hari itu akan menampilkan forum, sesi padanan perniagaan, perkongsian ilmu dan pameran peluang baru.

Setakat ini, lebih separuh daripada 90 ruang pameran telah ditempah, dengan 55 penyertaan disahkan termasuk pempamer dari China.

“Pameran ini bukan sekadar jualan terbuka, tetapi lebih kepada platform pertemuan dan perbincangan. Contohnya, peniaga air minuman boleh bertemu dengan kilang plastik untuk mendapatkan bekalan pada harga berpatutan,” kata Encik Mohd Hairi dalam satu kenyataan pada 27 Ogos.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan dana besar bagi menjayakan acara ini, selain menerima sokongan Dewan Perniagaan Melayu, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor, Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan India serta rakan strategik antarabangsa.

“Kita mahu memastikan usahawan Johor mendapat akses terus kepada pelabur dan pemain industri utama, termasuk di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Panel daripada agensi utama seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) dan IIB akan bersama bagi membimbing usahawan menembusi pasaran lebih luas,” katanya.

Ditanya mengenai potensi memasarkan produk Johor ke luar negara, Encik Mohd Hairi optimis bahawa ekosistem keusahawanan Johor semakin kukuh.

“Kita ada lebih 60,000 usahawan dalam sistem padu yang disokong pelbagai agensi negeri seperti BPEN dan PUJB. Fokus kita kini ialah pada pembungkusan yang menarik kerana itu kunci untuk menembusi pasaran antarabangsa,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa lebih RM600 juta ($182.3 juta) telah disalurkan pada 2024 untuk membantu usahawan melalui geran, pembiayaan, sokongan dan latihan.

Acara itu akan menghimpunkan 49 agensi di bawah Majlis Perundingan Usahawan Negeri Johor, yang akan menyediakan ruang konsultasi kepada peserta forum dan pengunjung.

“Usahawan tidak perlu rasa segan untuk mendapatkan nasihat. Daripada bantuan kecil hinggalah keperluan besar, kerajaan negeri akan cuba membantu sedaya mampu,” tambahnya.

Johor Business Summit and Expo 2025 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor turut menawarkan 24 sesi forum bersama tokoh-tokoh perniagaan ternama.

“Jatuh dan bangun adalah adat dalam dunia perniagaan. Sebab itu kita bawakan nama-nama besar untuk memberi inspirasi kepada usahawan muda agar mereka belajar daripada pengalaman,” ujar Encik Mohd Hairi.

Beliau menyeru semua usahawan, tidak kira kecil atau besar, untuk merebut peluang ini bagi memperkukuh jaringan perniagaan dan memacu daya saing negeri Johor ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg