JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa kesihatan Johor memperhebat langkah membanteras denggi selepas negeri itu merekodkan 8,639 kes sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-32 pada 2026.

Jumlah tersebut melonjak 108.7 peratus berbanding 4,140 kes yang dicatat dalam tempoh sama pada 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata keadaan itu membimbangkan, khususnya di daerah Johor Bahru dan Kulai.

“Disebabkan kes denggi meningkat secara mendadak, pihak kesihatan negeri telah mengambil langkah lebih agresif untuk membanteras penularannya.

“Saya menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak kesihatan negeri agar kita dapat bersama-sama menurunkan jumlah kes denggi di Johor,” katanya dalam kenyataan pada 20 Ogos.

Encik Ling berkata demikian ketika meninjau keadaan di Taman Pulai Perdana, selepas mengadakan lawatan ke Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.

Kededua kawasan perumahan itu dikenal pasti sebagai kawasan wabak denggi, dengan Taman Ungku Tun Aminah mencatat 19 kes.

Menurutnya, tindakan segera dan kerjasama penuh penduduk amat penting bagi memutuskan rantaian penularan apabila sesuatu kawasan mula menunjukkan peningkatan kes.

Beliau mengingatkan penduduk supaya meluangkan masa memeriksa kawasan rumah, membersihkan tempat yang boleh menakung air dan memastikan tiada ruang untuk nyamuk Aedes membiak.

“Kaedah ‘cari dan musnah’ ialah cara terbaik untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

“Jangan tunggu sehingga ahli keluarga atau orang terdekat menjadi mangsa sebelum kita bertindak.

“Memerangi Aedes menjadi tanggungjawab kita bersama. Jaga kebersihan serta lindungi diri dan keluarga daripada denggi,” katanya.

Encik Ling turut menasihatkan individu yang mengalami gejala awal, termasuk demam panas, supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan menjalani saringan di kemudahan kesihatan berhampiran.

Menurutnya, kerjasama masyarakat serta tindakan berterusan semua pihak mampu membantu mengurangkan kes denggi di Johor.