Kerajaan Johor terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir melalui pelaksanaan menyeluruh 11 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri, merangkumi daerah Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Tangkak, Johor Bahru dan Kluang.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Encik Anuar Abd Manap (Umno-Pemanis) dan Datuk Zulkurnain Kamisan (Umno-Sri Medan) dalam Sidang Dewan Negeri pada 18 November.
Menurutnya, daripada keseluruhan projek, 10 berada dalam peringkat pelaksanaan aktif manakala satu lagi iaitu Kajian Sumber Bekalan Air Sungai Skudai bernilai RM99.8 juta ($31.3 juta) masih dalam peringkat prapelaksanaan dan dijangka bermula Oktober 2026.
“Daripada semua projek yang sedang berjalan, RTB Sungai Pemandi di Kota Tinggi kini paling hampir disiapkan dengan kemajuan 77 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026.
“Di Segamat, RTB Sungai Muar Tahap 3 yang bernilai RM461.01 juta merekodkan kemajuan 25.04 peratus dan mendahului jadual sebanyak 8.51 peratus.
“Kota Tinggi turut mencatat perkembangan positif apabila RTB Sungai Johor Tahap 1 berada di hadapan jadual asal.
“Sementara itu, RTB Bandar Batu Pahat bernilai RM187.17 juta mencatat kemajuan fizikal 18.74 peratus dan berjalan hampir selari dengan perancangan,” katanya.
Di Tangkak, RTB Sungai Kesang mencapai 30.56 peratus dan turut berada sedikit mendahului jadual, manakala projek menyambung baki kerja RTB Lembangan Sungai Muar di Muar dan Tangkak telah memasuki peringkat awal setelah mesyuarat prapembinaan diadakan pada 30 Oktober.
Encik Mohamad Fazli memaklumkan hanya satu projek dikesan mengalami kelewatan, iaitu pemerkasaan struktur dan kemudahan Empangan Sembrong di Batu Pahat yang bernilai RM33.01 juta, yang tertinggal 5.28 peratus daripada jadual bersamaan tunggakan 37 hari.
Projek itu dijangka siap pada Julai 2028.
Dalam perkembangan lain, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan empat projek baru berkeutamaan tinggi dalam Belanjawan 2026 melibatkan kawasan Kluang, Johor Bahru, Kulai dan Segamat.
“Jumlah keseluruhan anggaran kos bagi projek baru ini adalah RM304.18 juta, dan pelaksanaannya dijangka memperkukuh jaringan mitigasi banjir jangka panjang di seluruh Johor.
“Secara keseluruhan, semua projek RTB sedang diselaraskan untuk siap secara berperingkat antara 2026 dengan 2028,” katanya.
Encik Mohamad Fazli menegaskan bahawa usaha itu mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan Johor bersama Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan prasarana tebatan banjir yang lebih holistik, berkesan dan mampan demi kesejahteraan Bangsa Johor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg