Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lapan projek bendung banjir dikenal pasti sebagai keutamaan di Johor

May 21, 2025 | 11:16 AM
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto UNIT MEDIA DAN KOMUNIKASI PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor): Lapan projek tebatan banjir telah dikenal pasti sebagai projek keutamaan tinggi dalam usaha kerajaan negeri Johor menangani bencana banjir yang berlaku hampir setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata sebahagian besar daripada 11 projek keutamaan tinggi yang sedang dilaksanakan ketika ini melibatkan inisiatif berkaitan banjir, meliputi kawasan Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Johor Bahru, lapor The Star.

“Antara projek yang disenaraikan ialah kerja menaik taraf Sungai Muar di Segamat, termasuk kawasan pertemuan Sungai Jementah dan Sungai Labis, dengan anggaran kos sebanyak RM461 juta ($139.3 juta),” katanya semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada 20 Mei.

Beliau turut menyenaraikan projek utama lain termasuk fasa ketiga, pakej dua Projek Tebatan Banjir Sungai Muar, yang bertujuan meningkatkan kapasiti Sungai Labis, Sungai Jementah dan anak-anak sungai lain, dengan kos RM70.95 juta.

Projek tebatan banjir Batu Pahat pula menelan belanja RM187.17 juta, manakala projek Sungai Johor fasa satu, pakej satu yang melibatkan pembinaan kolam takungan dan naik taraf sungai dianggarkan bernilai RM376 juta.

Selain itu, fasa satu pakej dua projek menaik taraf sungai dan anak sungai di Kota Tinggi turut disenaraikan dengan peruntukan sebanyak RM74.2 juta.

“Kesemua projek di Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi telah dimulakan tahun lalu (2024) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, namun sebahagian daripadanya dijangka siap lebih awal, iaitu pada 2027,” katanya.

Encik Mohamad Fazli turut memaklumkan antara projek penting lain ialah kerja pengukuhan struktur empangan di Sembrong, Batu Pahat, dengan kos RM33 juta yang dijangka siap pada Julai 2028.

Tiga lagi projek daripada senarai 11 tersebut masih berada di peringkat praperancangan, dengan perbincangan berkaitan reka bentuk dan kajian teknikal sedang dijalankan melibatkan kawasan di Muar, Tangkak, Batu Pahat dan Johor Bahru.

“Kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif dengan meluluskan sembilan lagi projek tebatan banjir bernilai RM15.53 juta bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Tangkak, Pontian, Kulai, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Johor Bahru,” katanya.

Pegawai penyelamat menjalani operasi semasa banjir melanda Kampung Pasir Tebrau di Johor pada awal 2025.
Pegawai penyelamat menjalani operasi semasa banjir melanda Kampung Pasir Tebrau di Johor pada awal 2025. - Foto fail THE STAR
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg