Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor perkukuh bakat digital demi rebut peluang kerja JS-SEZ
Amalan terbaik Digital Penang akan diteliti bagi sesuaikan pendidikan, latihan
Johor perkukuh bakat digital demi rebut peluang kerja JS-SEZ
JOHOR BAHRU: Johor mahu memperkukuh pembangunan bakat digital bagi memastikan anak negeri itu memiliki kemahiran dan keupayaan untuk merebut peluang pekerjaan baru yang bakal berkembang menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata usaha itu turut menyokong perancangan pembangunan Majlis Digital Negeri Johor yang sedang diperincikan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Johor akan meneliti amalan terbaik yang dilaksanakan di Pulau Pinang sebelum menyesuaikannya dengan keperluan industri dan keadaan di Johor.
“Sebagai langkah susulan, segala input dan amalan terbaik daripada lawatan ini akan saya teliti bersama Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), khususnya dalam menyelaras agenda pendigitalan, pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan bakat agar lebih responsif terhadap keperluan industri.
“Ini penting dalam mempersiapkan anak Johor bagi merebut peluang pekerjaan baru yang bakal berkembang melalui JS-SEZ, di samping menyokong perancangan pembangunan Majlis Digital Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 September.
Dr Muhammad Naqib berkata beliau bersama delegasi Kerajaan Johor mengadakan lawatan penanda aras ke pejabat Digital Penang bagi meneliti pendekatan yang digunakan untuk memperkukuh ekosistem ekonomi digital dan pembangunan bakat.
Delegasi itu menerima taklimat mengenai pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital (DEMP) 2025-2030, yang menggabungkan empat komponen utama merangkumi kerajaan digital, ekonomi digital, masyarakat digital dan asas digital.
Pendekatan itu merangkumi pembangunan bakat digital, inovasi dan syarikat pemula niaga, pendigitalan perusahaan, peningkatan celik digital serta pengukuhan prasarana.
Delegasi Johor diberikan penerangan mengenai pelaksanaan 42 Penang, iaitu pendekatan pembangunan bakat digital yang memberi gambaran mengenai kaedah membangunkan kemahiran masa hadapan selaras dengan keperluan industri.
“Apa yang baik dan bersesuaian, kita pelajari. Apa yang relevan dengan Johor, kita sesuaikan dan perkukuhkan,” kata Dr Muhammad Naqib.
Beliau menambah bahawa pertumbuhan ekonomi, kemajuan digital dan pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dalam kerangka Agenda Maju Johor 2030.
“Kita bukan sekadar mahu membawa lebih banyak peluang pekerjaan ke Johor. Kita mahu memastikan anak Johor mempunyai kemahiran, keupayaan dan keyakinan untuk mengisi peluang tersebut.
“Kita akan terus belajar, menambah baik dan membina ekosistem bakat yang lebih kukuh demi masa depan Johor dan generasi akan datang,” katanya.