Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor peruntuk RM163j perkasa pendidikan, kebajikan murid dan guru
Johor peruntuk RM163j perkasa pendidikan, kebajikan murid dan guru
Johor peruntuk RM163j perkasa pendidikan, kebajikan murid dan guru
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperuntukkan RM163 juta ($51 juta) bagi memperkukuh agenda pendidikan bagi 2026, merangkumi bantuan kepada murid, kebajikan guru dan pembangunan mahasiswa anak Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata secara keseluruhan, portfolio pendidikan dan penerangan negeri itu melaksanakan 35 inisiatif utama bernilai RM174.8 juta.
“Angka ini penting, tetapi mesej di sebaliknya lebih besar, iaitu pendidikan merupakan pelaburan bagi masa depan Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Julai.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Konvensyen Antarabangsa Guru Besar dan Persidangan Agung Tahunan Persatuan Guru Besar Malaysia kali keempat di Johor Bahru.
Dr Muhammad Naqib berkata kemajuan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disokong pembangunan modal insan yang kukuh.
Menurutnya, kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah, institusi pengajian tinggi, sektor perusahaan dan masyarakat pendidikan perlu terus diperkukuh.
“Guru mendidik, guru besar memimpin, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membimbing, Jabatan Pendidikan menyelaras, manakala kerajaan menyediakan dasar dan sokongan.
“Apabila semua komponen bergerak seiring, lahirlah sekolah yang cemerlang dan mampu membentuk masa depan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata guru besar kini bukan sekadar pentadbir sekolah, malah perlu menjadi pemimpin perubahan, pencetus pembaharuan dan pembina budaya sekolah yang positif.
Dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), analisis data dan pembelajaran digital, katanya, kepimpinan sekolah perlu berkembang sejajar perubahan zaman tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan.
“Teknologi boleh mempercepat proses, tetapi kepimpinan menentukan arah. Teknologi menyediakan data, tetapi kebijaksanaan pemimpin menentukan keputusan. Pendidikan akhirnya tetap berkisar tentang manusia,” katanya.
Antara inisiatif utama kerajaan negeri itu ialah Program Kembali ke Sekolah dengan peruntukan RM28.8 juta bagi manfaat 189,000 murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan asnaf.
Kerajaan negeri itu turut menyediakan RM5.975 juta bagi Bantuan Khas Bilik Guru, melibatkan 1,195 sekolah dan memberi manfaat kepada 49,602 guru di seluruh Johor.
Dr Muhammad Naqib berkata bilik guru bukan sekadar ruang, tetapi tempat lahirnya perancangan pembelajaran, perkongsian idea dan semangat untuk terus mendidik.
Sebanyak RM2.95 juta disediakan untuk memperkukuh peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Penglibatan Ibu Bapa, Masyarakat dan Sektor Swasta, melibatkan 1,780 sekolah kebangsaan dan sekolah agama kerajaan serta 10 badan peringkat daerah.
Beliau berkata Sekolah Rintis Bangsa Johor turut menjadi bukti kesungguhan negeri itu merancang pendidikan secara berpandangan jauh.
Empat sekolah dipilih sejak sesi 2025/2026 dengan peruntukan RM54 juta bagi menaik taraf prasarana dan melaksanakan modul pendidikan berimpak tinggi.
Inisiatif itu menekankan penguasaan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Melayu, pengukuhan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, pembangunan sahsiah, kebolehpasaran murid serta pentaksiran kompetensi yang lebih tersusun.
“Jangan kita melihat anak-anak sebagai angka semata-mata. Di sebalik setiap data ada seorang murid, di sebalik setiap keputusan ada keluarga yang berharap, dan di sebalik setiap sekolah ada masa depan negara yang sedang dibentuk,” katanya.