Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perkukuh hala tuju ekonomi melalui Pelan Induk JS-SEZ

Nov 21, 2025 | 12:33 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han. - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini menjadi pemacu utama hala tuju ekonomi negeri Johor, dengan 11 sektor strategik dikenal pasti sebagai tunjang pertumbuhan jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata ini termasuk pembuatan, logistik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, ekonomi digital, pelancongan, sekuriti makanan, pendidikan, kesihatan, tenaga dan ekonomi hijau.

“Kerangka 11 sektor ini bukan sekadar senarai, tetapi digambarkan sebagai peta pembangunan yang menetapkan keutamaan pelaburan, strategi pembinaan bakat, pembentukan kluster industri dan hala tuju dasar untuk tempoh jangka panjang.

“Dalam masa yang sama, negeri turut menumpukan kepada sektor baru berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi pembuatan maju, tenaga bersih, ekonomi hijau, life sciences serta perkhidmatan kewangan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri pada 20 November di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Tambahnya kesemua sektor ini sedang disepadukan ke dalam penyediaan Pelan Induk JS-SEZ yang dimuktamadkan oleh firma perunding antarabangsa.

“Pelan Induk JS-SEZ yang dijadual siap pada suku pertama 2026 akan berfungsi sebagai rujukan utama pembangunan ekonomi negeri.

“Ia akan menyelaras dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan, mengetengahkan suara industri serta memperincikan hala tuju yang lebih jelas bagi pelabur domestik dan antarabangsa.

“Dokumen itu turut digariskan sebagai panduan untuk meletakkan Johor dalam peta ekonomi global secara lebih terancang,” jelasnya.

Encik Lee juga menegaskan bahawa JS-SEZ bukan semata-mata mengenai pelaburan asing, tetapi tentang memastikan manfaat ekonomi sampai kepada rakyat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME).

“Pelbagai inisiatif sedang dijalankan seperti direktori SME mengikut sektor strategik, direktori perunding tempatan, padanan perniagaan, penilaian standard teknikal dan readiness workshop bagi memastikan SME tempatan tidak tercicir dalam ekosistem pelaburan baru.

“Laporan penglibatan SME turut dibentangkan setiap bulan kepada Menteri Besar bagi pemantauan rapi,” ujarnya.

Pada masa sama, Johor turut mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan pusat data, dengan penilaian ketat terhadap indikator teknikal seperti penggunaan tenaga dan air, komitmen tenaga boleh diperbaharui serta kesan terhadap grid tenaga dan prasarana air.

“Pendekatan ini bagi memastikan negeri tidak menjadi gudang data semata-mata, tetapi pusat kecerdasan digital yang mampu menghasilkan nilai tinggi.

“Keseluruhan rangka tindakan ekonomi ini, termasuk JS-SEZ, pembangunan sektor baru, Pelan Induk JS-SEZ, program Made in Johor, penglibatan SME serta kawal selia pusat data, disifatkan sebagai bukti bahawa Johor tidak menunggu arus global, tetapi memilih untuk membentuk arus tersebut,” katanya.

Dengan asas dasar yang konsisten dan visi jangka panjang, Encik Lee berkata Kerajaan Johor yakin bukan sahaja kekal sebagai peneraju pelaburan negara, tetapi berpotensi muncul sebagai pusat pertumbuhan paling penting di Asia Tenggara menjelang aspirasi Maju Johor 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg