Kerajaan Johor terus memperkukuh kedudukan sebagai hab digital serantau apabila Invest Johor menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat teknologi tersenarai Jepun, NeoJapan Inc., bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Asia Tenggara (SEA CoE) di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
MOU tersebut dimeterai semasa Forum Nikkei Medini Johor 2025 yang berlangsung di Iskandar Puteri pada 19 Jun, dan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; serta Duta Jepun ke Malaysia, Encik Noriyuki Shikata.
Langkah strategik itu dijangka memacu pelaksanaan transformasi digital di negeri itu melalui pembangunan bakat tempatan serta penyediaan teknologi terkini oleh NeoJapan.
Pusat berkenaan dijangka melatih lebih 1,000 bakat tempatan dalam bidang prasarana awan, sokongan teknologi maklumat (IT) pelbagai bahasa dan pembangunan tanpa kod, selain mewujudkan 300 pekerjaan berkemahiran tinggi di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Johor, Encik Natazha Hariss, berkata usaha ini menunjukkan bagaimana Johor kini berubah daripada bergantung kepada sektor pengilangan semata-mata kepada penerokaan sektor ekonomi digital dan teknologi hijau.
“Secara tradisinya, sektor pengilangan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Johor.
“Tetapi kini kita melihat pertumbuhan pesat dalam sektor ekonomi digital dan teknologi hijau, termasuk minat tinggi terhadap pembangunan pusat data dan rantaian bekalannya,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
Menurut Encik Natazha, walaupun pembinaan pusat data merupakan pelaburan asing secara langsung (FDI) yang besar, peluang pekerjaan yang diwujudkan adalah terhad.
Justeru itu, Johor kini mengambil pendekatan strategik dengan mempromosikan ekosistem dan rantaian bekalan menyeluruh bagi pusat data.
“Kita tidak hanya mahu tarik pusat data sahaja, malah keseluruhan ekosistem yang menyokongnya, dari peringkat kejuruteraan hinggalah kepada penyediaan tenaga kerja mahir.
“Pendekatan ini lebih mampan dan memberi nilai tambah serta peluang pekerjaan kepada rakyat Johor,” ujarnya.
Menurutnya, tiga sektor utama yang kini menerima paling banyak pertanyaan daripada pelabur ialah pengilangan termaju, ekonomi digital dan teknologi hijau, dam minat datang bukan sahaja dari Singapura, bahkan juga dari China dan negara-negara Eropah.
Encik Natazha turut menjelaskan bahawa Johor kini bersedia sepenuhnya untuk menerima pelaburan baru dalam kawasan JS-SEZ yang mempunyai lebih 100 taman industri khusus.
Prasarana yang sedia ada sejak pembangunan Iskandar Malaysia kini bertambah baik dan dinaik taraf untuk memenuhi keperluan pelabur semasa.
“Blok asas telah dibina sejak 18 tahun lalu (2007) dan kini kami dalam fasa menaik taraf dan memperkukuh kemudahan,” katanya sambil menambah bahawa Johor berjaya menarik pelaburan bernilai RM30.1 bilion ($9.12 bilion) pada suku pertama 2025.
Bagi memastikan pelaburan turut membawa manfaat kepada rakyat tempatan, Invest Johor turut mewajibkan pelabur mengemukakan unjuran keperluan tenaga kerja dan pecahan kemahiran yang diperlukan seperti jurutera, juruteknik dan pentadbiran.
“Apabila kami tahu jumlah dan jenis pekerja yang diperlukan, kita ada masa setahun dua sebelum fasiliti dibina.
“Dalam tempoh itu, kita bekerjasama dengan institusi pendidikan dan agensi pembangunan modal insan negeri seperti Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) untuk melatih pelajar mengikut keperluan industri,” katanya.
Langkah itu, katanya membolehkan lulusan terus memasuki pasaran pekerjaan dengan majikan yang telah dikenal pasti, sekali gus merapatkan jurang antara dunia pendidikan dengan industri.
“Kita padankan pelajar dengan industri sejak awal lagi.
“Ini bukan sahaja mempercepatkan proses penempatan kerja, bahkan juga meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg