Kerajaan Johor sedang giat meneroka kerjasama strategik bersama syarikat pengangkutan digital, Grab, dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan dan pengangkutan menjelang penganjuran Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perbincangan bersama pihak Grab pada 17 Jun telah membuka ruang untuk memperhalusi pelbagai daya usaha yang mampu merancakkan ekonomi negeri, khususnya dalam memudahkan pergerakan pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk perkembangan terkini Perjanjian Perjalanan Rentas Sempadan serta cadangan kerjasama antara Grab dengan Tourism Johor bagi memperluas kempen promosi Tahun Melawat Johor 2026 secara menyeluruh dan terangkum.
“Mesyuarat itu juga menyentuh potensi kerjasama rentas sempadan antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura, dengan penglibatan Grab serta penyedia pengangkutan awam lain bagi memastikan pergerakan rakyat dan pelancong antara kedua-dua negara menjadi lebih lancar dan teratur,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook pada 19 Jun.
Selain itu, Johor turut mencadangkan pewujudan satu wadah gabungan digital dan fizikal yang menampilkan tempat-tempat menarik di negeri itu.
“Usaha ini diyakini akan memudahkan pelancong mendapatkan maklumat sama ada secara dalam talian mahupun luar talian, sekali gus memperkukuh lagi daya tarikan pelancongan Johor,” tambahnya.
Datuk Onn Hafiz turut yakin pendekatan itu bukan sahaja dapat menjana peluang pekerjaan baru dan meningkatkan pendapatan rakyat, malah menjadikan Johor sebagai sebuah negeri moden yang terbuka dan bersedia menerima kedatangan pelancong dari seluruh dunia.
Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz, turut meninjau kemajuan kerja menaik taraf Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor yang kini giat dijalankan serta dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai 2025.
Penaiktarafan itu melibatkan pembukaan 12 kaunter baru khusus untuk urusan hak milik strata serta pewujudan 54 jawatan tambahan merangkumi pegawai pendaftar, kerani kaunter dan kerani sistem.
“Sebelum ini PTG hanya mampu memproses sekitar 120 folder urusan hak milik strata sehari, namun menerusi penambahbaikan ini, kapasiti dijangka meningkat lima kali ganda kepada 600 folder sehari,” katanya.
Daya usaha itu dijangka mengurangkan tempoh menunggu dan menyelesaikan masalah tunggakan kerja sedia ada.
Selain itu, tempoh pemprosesan permohonan tanah juga telah dipendekkan, termasuk permohonan oleh kepentingan asing dari 70 hari kepada 21 hari dan urus niaga tempatan dari 14 hari kepada 7 hari.
“
“Mesyuarat itu juga menyentuh potensi kerjasama rentas sempadan antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura, dengan penglibatan Grab serta penyedia pengangkutan awam lain bagi memastikan pergerakan rakyat dan pelancong antara kedua-dua negara menjadi lebih lancar dan teratur.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg