Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perkukuh selenggara masjid, surau

RM120.5 juta telah disalur sejak 2022
Nov 17, 2025 | 4:31 PM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

JOHOR BAHRU: Penyelenggaraan masjid dan surau di seluruh Johor terus menjadi komitmen utama Kerajaan Johor dalam memastikan syiar Islam diperkasa secara teratur dan berkesan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata usaha penyelarasan kerja baik pulih dan naik taraf semakin cekap sejak pelaksanaan Sistem i-Bina Pulih Masjid Surau Johor pada 2024, yang membolehkan semua agensi menilai keperluan sebenar setiap rumah ibadat secara lebih tepat serta mengelakkan pertindihan peruntukan.

Menurutnya, hasil kerjasama pelbagai agensi negeri dan Persekutuan, sejumlah RM120.5 juta ($37.8 juta) telah disalurkan kepada institusi masjid dan surau dari 2022 hingga November 2025.

“Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Jementah sahaja, sebanyak RM870,000 telah diagihkan bagi membaik pulih, menaik taraf dan melaksanakan penyelenggaraan asas melibatkan 15 masjid dan surau.

“Kita bukan hanya menumpukan kepada aspek fizikal semata-mata. Kebajikan pegawai masjid dan surau seperti imam, bilal, noja, penggerak masjid, guru takmir dan penyelia al-Quran turut diberi perhatian melalui elaun serta Bantuan Kasih Johor 2026 berjumlah RM1,000 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Encik Anuar Abd. Manap (Umno-Pemanis), ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada 17 November.

Encik Mohd Fared menjelaskan bahawa yang lebih utama bukanlah soal besar atau kecilnya jumlah peruntukan, tetapi memastikan setiap permohonan dinilai secara berkeutamaan supaya bantuan sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukan.

“Garis panduan dan sistem baru diwujudkan untuk memastikan pengurusan dana lebih teratur, telus dan memberi impak segera kepada masyarakat.

“Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan demi kesejahteraan masyarakat Islam seluruh negeri,” katanya.

Selain usaha berterusan menambah baik penyelenggaraan masjid dan surau di seluruh negeri, Johor turut memberi perhatian khusus terhadap pengimarahan syiar Islam menerusi program jemaah yang mendapat sambutan besar daripada masyarakat.

Menurutnya, Program Semarak Subuh Johor semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sejak diperkenalkan pada 2024. Pada tahun pertama pelaksanaannya, sebanyak 2,564 sesi berjaya direkodkan dengan kehadiran 345,247 jemaah, disokong peruntukan berjumlah RM1.4 juta.

“Mengambil kira sambutan yang sangat menggalakkan, Kerajaan Negeri meningkatkan pelaksanaan program itu kepada dua kali seminggu bagi setiap DUN pada tahun 2025 dengan peruntukan RM2.8 juta.

“Setakat 10 November 2025, program tersebut telah mencapai 3,799 pelaksanaan dengan penyertaan 307,038 jemaah, melibatkan 3,682 masjid dan surau di seluruh Johor,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg