Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semua masjid, surau solat Jumaat di Johor diarah adakan solat hajat

Aug 29, 2025 | 11:42 AM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto FACEBOOK MOHD FARED MOHD KHALID

Semua masjid dan surau Jumaat di Johor diarah melaksanakan solat hajat dan doa selamat selepas solat fardu Jumaat pada 29 Ogos bagi memohon perlindungan Allah swt agar seluruh Bangsa Johor dijauhkan daripada bencana dan kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata arahan itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) susulan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat awal pagi 29 Ogos.

“Usaha ini berikutan kita sudah memasuki minggu kedua sejak gegaran pertama berlaku pada Jumaat lalu.

“Pelaksanaan solat hajat ini diharap dapat meleraikan kebimbangan orang ramai dengan menunjukkan bahawa perlindungan terhadap rakyat turut diperkukuh melalui aspek kerohanian,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau menyeru seluruh masyarakat Johor agar sama-sama menggembleng usaha kerohanian dengan memperbanyakkan doa agar Johor serta negara Malaysia sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

“Marilah kita memohon kepada Allah swt agar keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menggesa kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan agar segera merangka pelan tindakan menyeluruh bagi menghadapi risiko bencana alam itu.

Ketua Armada Bersatu Johor, Encik Alias Rasman, berkata walaupun gegaran yang berlaku adalah berskala kecil, hakikat bahawa ia dirasai rakyat menunjukkan perlunya persediaan lebih rapi.

“Rakyat berhak merasa selamat di bumi sendiri. Kejadian sebegini menimbulkan kebimbangan apabila ia berulang dalam tempoh singkat.

“Justeru, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu segera umumkan pelan tindakan menyeluruh, melibatkan pakar geologi dan seismologi, serta memperkukuh kempen kesedaran awam dan sistem amaran awal,” katanya.

Kejadian di Segamat yang kini sudah memasuki siri gegaran kelima sejak yang pertama berlaku pada 24 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg