Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor pertingkat persiapan hadapi hujan berterusan, laut bergelora

Dec 4, 2025 | 2:18 PM
banjir, Johor, persiapan hadapi hujan berterusan, laut bergelora
Laporan terkini menunjukkan hujan berpanjangan diramal berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru mulai 7 hingga 8 Disember. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Kerajaan Johor meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri susulan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melibatkan hujan berterusan, angin kencang dan keadaan laut bergelora yang dijangka menjejas beberapa daerah mulai 7 hingga 8 Disember.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata laporan terkini menunjukkan hujan berpanjangan diramal berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru dalam tempoh dua hari tersebut.

“Pada masa sama, angin kencang kategori pertama turut dijangka melanda perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Tioman dan kawasan berdekatan dengan ombak setinggi antara 2.5 hingga 3.5 meter.

“Kerajaan telah menggerakkan penyelarasan rapat bersama agensi keselamatan dan pengurusan bencana, selain melakukan pemantauan berterusan di kawasan rendah, lembangan sungai serta lokasi yang dikenal pasti berisiko,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Disember.

Tambah Datuk Onn Hafz, persiapan aset keselamatan, termasuk bot penyelamat dan jentera logistik, telah ditempatkan di kawasan strategik bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya paras air meningkat atau keadaan laut bertambah buruk.

Beliau turut menasihatkan rakyat Johor agar menangguhkan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan pantai dan perairan sepanjang tempoh amaran dikeluarkan.

Beliau juga mengingatkan penduduk untuk sentiasa mengikuti perkembangan rasmi yang disalurkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta METMalaysia, dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.

“Keselamatan keluarga mesti menjadi keutamaan. Jika diminta berpindah, bertindaklah segera,” katanya sambil menyeru seluruh rakyat Johor untuk terus berdoa agar negeri itu dijauhkan daripada sebarang bencana sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini.

Terdahulu, pada 28 November, Datuk Onn Hafiz dilaporkan berkata Kerajaan Johor kini berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi susulan amaran hujan lebat berterusan yang dijangka melanda beberapa daerah di negeri itu khususnya di Segamat, Tangkak dan Muar.

Ini berikutan laporan PRABN dan METMalaysia yang menunjukkan kawasan terbabit berada dalam risiko banjir, terutama di kawasan lembangan sungai dan penempatan rendah.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Johor bersama semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana sedang melaksanakan pemantauan rapi di kawasan panas (hotspot), menggerakkan aset keselamatan serta menyediakan keperluan logistik penting bagi memastikan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg