JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) memperkukuh pelaksanaan program berimpak tinggi bagi memelihara, memartabatkan dan mempromosikan warisan budaya negeri, sebagai persediaan utama menghadapi Tahun Melawat Johor 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan Johor, Encik K. Raven Kumar, berkata rangka program yang dirancang bukan sahaja menonjolkan identiti Bangsa Johor, bahkan turut memacu kerjasama budaya bersifat serantau dan antarabangsa.
YWJ sedang melaksana rangkaian program bertahap dunia bagi memastikan Johor muncul sebagai destinasi warisan dan kebudayaan utama di rantau Asean.
“Program ini dirangka untuk mengukuhkan jati diri, memperkaya pengalaman masyarakat, dan mempromosikan kekayaan seni budaya negeri kepada dunia,” katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar pada 18 November.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cik Fauziah Misri (Umno-Penawar), dan Cik Nor Rashidah Ramli (Umno-Parit Raja), berkaitan acara kebudayaan dan warisan bertaraf antarabangsa yang telah dirancang sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Menurut Encik Raven antara acara utama ialah, Wonderful Nusantara Festival, platform kebudayaan serantau melibatkan penyertaan lima negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina.
“Festival ini mempamerkan enam teras budaya termasuk persembahan seni, sajian warisan, kearifan tempatan, kraf tangan, permainan tradisional dan seni bela diri.
“Ia turut menggabungkan elemen silang budaya seperti kaligrafi Cina, khat Melayu, lukisan inai dan paluan gendang tiga kaum.
“Bagi memastikan impak lebih luas, jaringan kerjasama turut diperkukuh bersama Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Jabatan Perpaduan Negara,” jelasnya.
Johor juga bakal menjadi tuan rumah Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan buat julung kali, melibatkan penyertaan pakar muzium dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.
“Program selama tujuh hari yang dijadualkan berlangsung di Dataran Angsana itu akan menampilkan pameran, bengkel, persembahan budaya serta aktiviti memasyarakatkan seni dan warisan,” katanya.
Beberapa acara sampingan turut dirangka, termasuk Buku Rekod Malaysia (MBOR) Heritage Mini Painting yang menyasarkan 5,000 karya lukisan mini bersaiz 15cm x 15cm; Teluk Belanga Fun Run and Heritage Virtual Run, kegiatan larian bertema identiti Negeri Johor; HMA Brewforia Fest x Makar Fest, gabungan festival makanan, kopi Johor dan budaya belia; serta International Classic Bike Fest, yang menghimpunkan peminat basikal dan motosikal klasik dari Malaysia, Singapura dan Thailand.
Johor turut merangka penganjuran Simposium Antarabangsa Johor Global; Hubungan Johor dan Asia Barat bagi mengangkat hubungan sejarah antara Johor dengan negara Asia Barat seperti Turkey, Jordan, Amiriah Arab Bersatu, Iran dan Lebanon.
“Simposium selama dua hari itu akan menampilkan perkongsian ilmiah, pameran, persembahan kebudayaan serta lawatan berpandu,” katanya.
Dalam bidang tekstil, International Textile Symposium, akan menonjolkan Kain Benang Johor sebagai identiti negeri.
Melibatkan penyertaan Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, China, Jepun dan India, program itu memberi tumpuan kepada inovasi tenunan serta perkongsian ilmu artisan antarabangsa bersempena sambutan Hari Muzium Sedunia pada Mei.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg