Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) kembali meriah dengan warna-warni budaya serumpun apabila Festival Wonderful Nusantara (WNF) 2025 membuka tirainya, menampilkan gabungan seni tari, teater, dan pameran warisan dari pelbagai negara di rantau ini.
Penganjuran tahun 2025 menandakan edisi ketiga festival tersebut yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) bersama Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru dan Taman Warisan Melayu Singapura.
Acara kali ini lebih bermakna apabila turut disertai Bunditpatanasilpa Institute dari Thailand serta Majlis Seni Sarawak sebagai rakan strategik baru.
Festival empat hari bermula 23 hingga 26 Oktober bukan sekadar pentas persembahan seni, bahkan wadah mengukuhkan hubungan diplomasi budaya antara negara serantau.
Ia juga menjadi antara acara pemangkin menjelang Tahun Melawat Johor 2026, dengan sasaran menarik lebih 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Majlis pembukaan diserikan dengan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara tiga agensi utama tersebut, sebagai lambang iltizam bersama dalam memperkukuh jaringan kebudayaan Nusantara dan memartabatkan Johor sebagai pusat warisan serantau.
Bagi Pengurus Besar, Taman Warisan Melayu Singapura, Encik Hafiz Shariff, kerjasama itu adalah kesinambungan hubungan serumpun yang telah lama terjalin.
“MOU ini bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi pengiktirafan terhadap hubungan yang hidup antara negara serumpun. Ia mengingatkan kita bahawa walaupun berbeza, akar budaya kita tetap satu,” katanya.
Beliau menambah bahawa Taman Warisan Melayu Singapura yang bakal dibuka semula pada April 2026 akan terus memainkan peranan sebagai jambatan budaya antara Singapura dengan dunia Melayu.
“Kami berharap festival ini menjadi wadah tetap untuk menghubungkan generasi baru dengan warisan serantau, serta memperkukuh kreativiti dan kerjasama antara negara,” tambahnya.
Pengarah, Yayasan Warisan Johor, Encik Nor Syazlan Abd Razak, berkata MOU itu melambangkan iltizam kukuh antara Johor, Indonesia dengan Singapura dalam memperluas kerjasama seni dan warisan budaya.
“Festival ini bukan sekadar persembahan tari atau muzik, tetapi jambatan persaudaraan yang menyatukan jiwa serumpun.
“Tahun ini (2025) kita turut menerima penyertaan baru dari Sarawak dan Thailand, dan tahun depan (2026) insya-Allah akan melibatkan Brunei serta Filipina,” kongsinya.
Beliau turut menjelaskan bahawa festival itu akan dijenamakan semula apabila diperluas ke Asia Tenggara bagi mencerminkan penglibatan lebih banyak negara.
Namun, semangat dan konsepnya kekal sama iaitu menonjolkan keindahan warisan rantau ini.
Menurutnya, sebagai lambang perpaduan dan kekuatan warisan yang dikongsi bersama, Johor akan terus muncul sebagai nadi seni dan kebudayaan rantau ini.
“Selagi akar budaya dijaga, selagi itulah persaudaraan kita kekal kukuh,” katanya
Acara turut menerima penghormatan dengan kehadiran isteri Pemangku Sultan Johor, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam, yang disifatkan sebagai tanda sokongan berterusan institusi diraja terhadap seni dan budaya negeri itu.
Bagi peserta, penyertaan dalam festival itu membawa makna mendalam, bukan sahaja peluang mempersembahkan karya seni masing-masing, bahkan ruang memperkukuh hubungan persahabatan antara negara.
“Kami datang bukan sekadar menari, tetapi membawa semangat persaudaraan yang lahir daripada sejarah bersama,” kata Bathara Saverigadi, 28 tahun, pereka tari kumpulan Swargaloka dari Indonesia.
Kumpulan Swargaloka mempersembahkan dua karya istimewa iaitu ‘Tari Remo’ dan ‘Tari Bumilangit’.
‘Tari Remo’ menggambarkan semangat kepahlawanan seorang perwira di medan perang melalui gerak kaki rancak diiringi muzik gamelan, manakala ‘Tari Bumilangit’ membawa makna keseimbangan antara bumi dengan langit, melambangkan keberanian menghadapi perubahan zaman.
“Program seperti ini amat penting kerana mempertemukan budaya serumpun dalam satu pentas.
“Kami gembira dapat menunjukkan karya kami sambil berkongsi nilai dan semangat perjuangan melalui tarian,” ujarnya yang telah lebih tiga dekad aktif dalam dunia tari.
Dari Singapura pula, kumpulan T3at3r Muzikal Collective, menampilkan dua persembahan berjudul ‘Sambutlah’ dan ‘A Tapestry of Traditions’, yang memaparkan semangat perpaduan dan kepelbagaian etnik di negara ini.
Menurut wakilnya, Muhammad Eusofe Abu Bakar, 24 tahun, festival itu memberi peluang kepada penari rantau ini untuk mengenal keunikan teknik dan ragam seni masing-masing.
“Dalam persembahan ‘Sambutlah’, kami menonjolkan busana dan simbolik adat istana Melayu, manakala ‘A Tapestry of Traditions’ menggabungkan tarian Melayu, Cina dan India.
“Ia mencerminkan keharmonian masyarakat kami,” jelasnya.
Beliau menambah, walaupun teknik dan irama setiap negara berbeza, asas budaya Melayu tetap menjadi pengikat.
“Zapin di Singapura tidak sama dengan Zapin di Malaysia atau Indonesia, namun rohnya sama; perpaduan melalui seni,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa latihan kumpulannya dilakukan selama sebulan penuh dengan 26 peserta yang terdiri daripada generasi muda pelbagai latar belakang.
“Latihan bukan sahaja menekankan gerak tari, bahkan juga pemahaman terhadap makna di sebalik setiap pergerakan.
“Bagi kami, menari bukan sekadar hiburan, tetapi bahasa jiwa yang menyampaikan pesan perpaduan,” ujarnya.
Dari tanah Borneo pula, Majlis Seni Sarawak membawa persembahan ‘Puteri Sarawak’, ‘Tandak Melayu Sarawak’, dan ‘Ngajat Pua Kumbu’, menampilkan 12 penari terdiri daripada pelbagai kaum.
Pegawai Kebudayaan, Encik Abang Shahfian Abang Ibrahim, menjelaskan bahawa persiapan dilakukan secara intensif selama dua minggu sebelum ke Johor.
“Puteri Sarawak menonjolkan kesopanan dan kesantunan gadis Melayu Sarawak, manakala ‘Ngajat Pua Kumbu’ memperkenalkan tekstil tradisi masyarakat Iban yang sarat nilai sejarah dan spiritual,” katanya.
Abang Shahfian yang sudah tiga dekad bergiat dalam bidang kebudayaan turut berkongsi bahawa beliau pernah mempersembahkan tarian Sarawak di Jepun dan Korea.
Maka, festival seperti itu membuka ruang kepada rakyat Malaysia dan tetamu luar untuk mengenali lebih mendalam seni Borneo yang kaya dengan nilai tradisi.
“Sekiranya festival ini diadakan setiap tahun, ia akan menjadi pentas penting mempromosikan kebudayaan dan kesenian negara di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, dari utara rantau ini, sembilan penari dari Phatthalung College of Dramatic Arts Thailand, tampil mempersembahkan dua tarian klasik, ‘Khon’ dan ‘Manora’.
Penolong pengarahnya, Cik Sawaros Sukalakarn, berkata ‘Khon’ merupakan seni persembahan diraja yang menampilkan watak daripada kisah Ramayana seperti Rama dan Hanuman, manakala ‘Manora’ pula ialah tarian rakyat selatan Thailand yang penuh gerak lincah dan warna-warni.
“Pelajar kami berlatih sejak di bangku sekolah untuk memahami sejarah, watak, dan gerak tubuh bagi setiap watak. Ia menuntut latihan bertahun-tahun,” katanya.
Cik Sawaros berkata penyertaan Thailand dalam festival itu mencerminkan hubungan budaya yang kian erat antara negara-negara serantau, di samping memperkenalkan kesenian diraja Thailand kepada khalayak antarabangsa.
WNF 2025 turut diserikan lagi dengan pelbagai acara seperti Teater Dewata, Pameran Pavilion Budaya, dan Festival Sajian Nusantara yang menampilkan hidangan tradisi dari pelbagai negara serumpun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg