Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor rancang tingkat kapasiti Lapangan Terbang Senai
Persediaan awal perlu dilakukan sebelum kemudahan sedia ada capai had
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor dan pengurusan Lapangan Terbang Senai sedang meneliti langkah meningkatkan kapasiti, prasarana serta mutu perkhidmatan lapangan terbang itu bagi menampung pertumbuhan penumpang pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata perancangan perlu dilakukan lebih awal, seiring perkembangan pesat ekonomi, pelaburan dan pelancongan negeri.
“Johor tidak boleh menunggu sehingga kapasiti sedia ada mencapai had sebelum tindakan diambil.
“Perancangan perlu dilaksanakan lebih awal supaya setiap tahap pertumbuhan negeri disokong oleh kemudahan pengangkutan yang mencukupi, moden dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan pada 19 Ogos.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan rombongan Lapangan Terbang Senai yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif lapangan terbang itu, Encik Kennedy Ayu.
Selain peningkatan kapasiti dan prasarana, perbincangan turut memberikan tumpuan kepada kecekapan perkhidmatan serta pengalaman penumpang di lapangan terbang berkenaan.
Menurut Encik Mohamad Fazli, pergerakan penduduk semakin meningkat, manakala lebih ramai pelabur dan pengunjung memilih Johor sebagai destinasi mereka.
Pertumbuhan tersebut perlu disokong sistem pengangkutan yang cekap, selesa serta mampu memenuhi keperluan negeri pada masa hadapan.
“Keutamaan kami jelas. Kapasiti mesti berkembang seiring dengan permintaan, perkhidmatan perlu terus dipertingkatkan dan pengalaman pengguna mesti menjadi semakin baik,” katanya.
Beliau berkata Lapangan Terbang Senai merupakan antara pintu masuk utama Johor dan memainkan peranan lebih luas daripada sekadar mengendalikan ketibaan serta pelepasan penumpang.
Lapangan terbang itu juga menjadi penghubung ke destinasi lain, selain membantu merancakkan sektor pelancongan, menarik pelaburan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Lapangan Terbang Senai merupakan ‘wajah’ pertama Johor kepada pengunjung. Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak lapangan terbang serta semua agensi berkaitan.
“Ini bagi memastikan pembangunan prasarana pengangkutan Johor dilaksanakan secara terancang, cekap dan berdaya tahan,” katanya.
Encik Mohamad Fazli berkata prasarana pengangkutan negeri perlu terus dipersiapkan bagi menyokong kedudukan Johor sebagai antara pusat pertumbuhan utama negara.
