Topik diikuti
Pergi ke BHkuProjek lebuh raya Pasir Gudang capai 83% siap, kerajaan negeri nafi kerja dihenti
Projek lebuh raya Pasir Gudang capai 83% siap, kerajaan negeri nafi kerja dihenti
Pemantauan berkala projek naik taraf terus dilakukan Jabatan Kerja Raya, kerajaan Johor
Projek lebuh raya Pasir Gudang capai 83% siap, kerajaan negeri nafi kerja dihenti
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menafikan dakwaan di media sosial kononnya projek naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang FT17 Fasa 2B telah dihentikan, sebaliknya menegaskan bahawa kerja pembinaan masih berjalan aktif dan mengikut jadual ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata projek berkenaan kini sudah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 83 peratus.
Menurut beliau, pemantauan berkala terus dilakukan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama kerajaan Johor bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
“Untuk makluman rakyat Johor, tiada sebarang pemberhentian kerja seperti yang tular di media sosial.
“Kerja pembinaan di tapak masih berjalan aktif dan dipantau secara berkala oleh pihak JKR serta Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 Mei.
Encik Mohamad Fazli berkata beliau bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut turun padang pada 13 Mei bagi meninjau sendiri perkembangan projek berkenaan.
Jelasnya, antara kawasan yang diberi perhatian ialah susur masuk ke Bandar Pasir Gudang dari arah Johor Bahru serta susur turun ke Kampung Pasir Gudang Baru menghala ke Johor Bahru yang dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.
Menurutnya lagi, kerja di kawasan susur turun Lebuhraya Laluan Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Johor Bahru turut dipantau bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Dalam pada itu, kontraktor projek diarahkan supaya pemasangan sistem Pengurusan Trafik Sementara (TTM) dilaksanakan secara lebih tersusun dan mematuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan.
Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pekerja tapak pembinaan sentiasa terjamin sepanjang tempoh kerja dijalankan.
Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri turut memastikan dua lorong sedia ada dikekalkan sepanjang tempoh pembinaan itu bagi membantu melancarkan aliran trafik terutama ketika waktu puncak.
“Setakat ini sebanyak 6.4 kilometer laluan tiga lorong telah siap dan dibuka untuk kegunaan orang ramai, manakala baki laluan sedang giat disiapkan. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2026,” katanya.
Beliau berkata apabila siap kelak, projek naik taraf FT17 itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya khususnya di kawasan Pasir Gudang dan sekitarnya.
Terdahulu, Datuk Onn Hafiz dilaporkan berkata projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) daripada empat kepada enam lorong kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 83 peratus dengan sebahagian laluan sepanjang 6.4 kilometer sudah dibuka kepada pengguna jalan raya.
Tambahnya, projek sepanjang 10 kilometer dari Persimpangan Bandar Seri Alam-Taman Rinting hingga Pasir Gudang itu menjadi antara usaha utama kerajaan negeri bagi menangani masalah kesesakan trafik yang sekian lama membelenggu pengguna.
Menurut beliau, baki 3.6 kilometer laluan utama dijangka dibuka sepenuhnya menjelang Ogos 2026 manakala kerja akhir termasuk kemasan dan penyelarasan prasarana lain akan diteruskan sehingga November 2026.
