Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat jadi pemangkin utama lonjak pelaburan Johor capai RM100b pada 2025

Aug 22, 2025 | 1:30 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han (tengah), mengadakan perbincangan bersama delegasi Dewan Perniagaan Amerika Syarikat-Asean.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han (tengah), mengadakan perbincangan bersama delegasi Dewan Perniagaan Amerika Syarikat-Asean. - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Penubuhan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) di Forest City menjadi mercu tanda baru dalam usaha Johor memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan sejagat, sekali gus mempercepat pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata pusat sehenti itu yang dilancarkan pada Februari bertujuan memudahkan pelabur merealisasikan projek mereka dengan lebih pantas.

Ini melalui penyelarasan menyeluruh antara agensi utama seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) dan Invest Johor.

“IMFC-J bukan sekadar pusat maklumat, tetapi menawarkan kemudahan lengkap di bawah satu bumbung termasuk khidmat nasihat, kelulusan dan penyediaan kemudahan sokongan. Ini penting untuk memastikan proses pelaburan dapat dilaksanakan secara teratur dan cekap,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Ogos.

Encik Lee menegaskan pusat itu memberi kelebihan daya saing kepada Johor kerana pelabur tidak lagi perlu berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan. Menurutnya langkah ini akan memantapkan lagi kedudukan Johor sebagai pintu masuk pelaburan ke Malaysia dan gerbang strategik ke Asia Tenggara.

Sejak dilancarkan, IMFC-J telah menerima ratusan pertanyaan daripada syarikat yang berminat mahu melabur dalam pelbagai sektor, termasuk kewangan, pengurusan kekayaan dan penubuhan pejabat keluarga di Forest City.

Pada suku pertama 2025 sahaja, Johor merekodkan lebih RM30 bilion ($9 bilion) pelaburan yang diluluskan, dan kerajaan negeri yakin mampu mencapai sehingga RM100 bilion menjelang akhir 2025.

“Pencapaian ini membuktikan Johor berada pada landasan tepat untuk menjadi hab pelaburan utama rantau ini. Dengan sokongan dasar yang mesra pelabur, negeri ini berupaya menarik syarikat berprofil tinggi untuk menubuhkan operasi mereka di sini,” ujarnya.

Pada 21 Ogos, Johor turut menerima kunjungan delegasi Dewan Perniagaan Amerika Syarikat-Asean yang diiringi beberapa syarikat besar Amerika.

Lawatan itu, menurut Encik Lee, menggambarkan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap Johor yang memiliki kedudukan strategik bersebelahan Singapura, infrastruktur bertaraf dunia, tenaga kerja mahir dan kos operasi yang kompetitif.

Beliau menambah, kerjasama erat dengan rakan strategik seperti UOB Bank telah membantu Johor memasarkan kelebihan ini kepada pelabur sejagat.

Dalam perkembangan sama, Encik Lee mengadakan pertemuan bersama penganalisis ekuiti dan pasaran daripada Maybank serta beberapa institusi kewangan Singapura bagi membincangkan perkembangan semasa mengenai JS-SEZ dan hala tuju ekonomi Johor.

“Perbincangan sebegini amat penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur. Johor kini berada di landasan kukuh dengan sokongan dasar kerajaan negeri yang properniagaan serta infrastruktur mantap untuk menyokong kemasukan pelaburan baru,” katanya.

Beliau berkata usaha ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan manfaat daripada pelaburan dapat dinikmati rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan limpahan pembangunan yang menyeluruh.

“Dengan sokongan padu rakan strategik serantau, kita yakin Johor akan terus muncul sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg