Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor sasar jadi hab inovasi kuantum berpotensi di Asean

Onn Hafiz: Lokasi strategik, prasarana maju dan hubungan rentas sempadan kukuh jadi landasan kukuh capai visi
Dec 12, 2025 | 2:59 PM
Johor, Onn Hafiz Ghazi, hab inovasi kuantum
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kuantum Asean 2025 di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyifatkan kedudukan negeri yang strategik serta hubungan rentas sempadan yang kukuh meletakkan Johor pada landasan tepat untuk memacu transformasi kuantum serantau. - Foto FACEBOOK AZNAN TAMIN

JOHOR BAHRU: Pembangunan pesat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta prestasi pelaburan yang memberangsangkan telah melonjakkan kedudukan negeri ini sebagai antara hab inovasi kuantum yang berpotensi di rantau Asean.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kedudukan negeri yang strategik serta hubungan rentas sempadan yang kukuh meletakkan Johor pada landasan tepat untuk memacu transformasi kuantum serantau, seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.

“Dengan lokasi strategik, prasarana maju dan hubungan rentas sempadan yang kukuh, beliau berkata Johor berada pada kedudukan unik untuk merapatkan jurang idea, penyelidikan dan industri di seluruh rantau,” katanya ketika perasmian Sidang Kemuncak Kuantum Asean 2025 pada 11 Disember.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 ($157,609) untuk membaik pulih Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk penggantian lampu dan permaidani.

Mengulas penganjuran Sidang Kemuncak Kuantum Asean 2025, yang julung kali diadakan, Datuk Onn Hafiz berkata ia permulaan amat penting untuk era baru kerjasama serantau.

“Saya amat berbesar hati dan berbangga menyambut kehadiran semua ke perhimpunan bersejarah ini.

“Sidang ini menjadi bukti kepada tekad bersama Asean dalam mencapai kecemerlangan saintifik, ketahanan teknologi dan kemajuan melalui kerjasama,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Mengenai JS-SEZ, Datuk Onn Hafiz berkata zon merangkumi kawasan seluas 3,588 kilometer persegi membabitkan enam pihak berkuasa tempatan dan tujuh kawasan kemegahan itu bukan sekadar inisiatif ekonomi atau berkaitan pelaburan asing semata-mata.

“JS-SEZ adalah tentang rakyat, ia menyediakan pendidikan, pekerjaan dan peluang untuk anda berkembang serta memainkan peranan dalam transformasi kuantum yang sedang berlaku di depan mata kita.

“Menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), dengan kerjasama rapat UTM dan rakan-rakan serantau, kita sedang melahirkan generasi baru bakat berkemahiran tinggi, bukan sahaja bersedia untuk keperluan hari ini, tetapi juga untuk dunia masa depan yang dipacu teknologi kuantum,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata penganjuran sulung Sidang Kemuncak Kuantum Asean 2025 di UTM menandakan satu detik penting dalam usaha berkongsi kepakaran dan membina kerjasama strategik antara negara Asean.

Menurut Encik Aznan, penganjuran oleh UTM dan UTMSpace bersama rangkaian universiti terkemuka Malaysia serta Malaysia Quantum Information Initiative (MyQI) atau Inisiatif Maklumat Kuantum, berjaya menghimpunkan menteri, pegawai kanan, penggubal dasar, penyelidik dan wakil industri dari kesemua 10 negara anggota Asean serta Jepun.

“Penyertaan menyeluruh ini menunjukkan komitmen rantau ini terhadap pengukuhan kapasiti saintifik dan daya tahan digital selaras dengan tema Asean Malaysia 2025: Inclusivity and Sustainability: Keterangkuman dan Kemampanan.

“Teknologi kuantum kini diiktiraf sebagai bidang strategik yang mampu mengubah landskap ekonomi dan keselamatan negara, dan Asean perlu bersedia menghadapi gelombang teknologi itu dengan pendekatan kerjasama.

“Justeru, platform seperti Sidang Kemuncak Kuantum Asean menjadi medan penting menyelaras strategi, menyatukan pemahaman dan membina ekosistem serantau yang mampu bersaing di peringkat sejagat,” katanya.

Encik Aznan turut menjelaskan penganjuran acara ini menyokong pelaksanaan Pelan Bertindak Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi Asean (Apasti) 2026-2035, yang menggariskan teknologi kuantum sebagai bidang keutamaan untuk pembangunan jangka panjang.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan aspirasi Johor memperkukuh agenda pendidikan tinggi dan memperluas penyertaan pelajar serta penyelidik tempatan dalam bidang sains sempadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg