JOHOR BAHRU: Johor melakar sejarah baru apabila dipilih syarikat teknologi gergasi dunia, Nvidia, bersama YTL Corporation sebagai salah satu daripada hanya lima Nvidia Cloud Partners di peringkat sejagat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pemilihan itu membuktikan keyakinan dunia terhadap kekuatan ekosistem digital Johor serta potensinya untuk muncul sebagai peneraju utama transformasi digital di rantau Asean.
“Kerangka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menggabungkan kekuatan Johor dan Singapura, menjadikannya pintu masuk strategik ekosistem digital dan kecerdasan buatan serantau.
“Kerjasama YTL Power–Nvidia bernilai RM20.6 bilion ($6.2 bilion) yang diumumkan di Kulai Disember 2024 telah meletakkan asas pembangunan prasarana kecerdasan buatan (AI) paling canggih di Malaysia.
“Projek ini bukan sahaja melahirkan Large Language Model (LLM) pertama negara dan membuka ribuan peluang pekerjaan berteknologi tinggi, malah menobatkan Johor sebagai Asean AI Centre of Excellence,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 September.
Beliau menambah, Johor optimis untuk memperkukuh kerjasama melalui pembangunan model AI pelbagai bahasa, penubuhan ‘testbed’ bersama dalam JS-SEZ serta penyediaan saluran bakat AI untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital seluruh rantau.
“Langkah strategik ini diyakini mampu memacu Johor muncul sebagai hab kecerdasan buatan dan digital terkemuka Asean,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata lawatan rasmi ke ibu pejabat Nvidia memberikan gambaran jelas bagaimana inovasi AI sedang membentuk masa depan dunia.
Menurutnya, kepakaran syarikat tersebut meliputi reka bentuk cip, aplikasi pusat data berskala besar, penggunaan AI dalam bidang kesihatan, pendidikan, automotif dan pembangunan bandar pintar.
“Nvidia bukan sekadar menghasilkan teknologi, bahkan mencipta idea baru yang mengubah cara kita bekerja, belajar dan hidup. Pemilihan Johor sebagai salah satu lokasi Nvidia Cloud Partners meletakkan negeri ini di landasan tepat untuk menjadi Asean AI Hub,” katanya.
Encik Lee menegaskan mesej penting daripada pemilihan ini ialah bahawa AI bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.
“Johor akan memastikan prasarana, bakat dan dasar tersedia untuk menerima arus perubahan ini.
“Kita mahu setiap rakyat Johor mendapat manfaat daripada ekonomi digital baru. Johor bukan sahaja peneraju digital Malaysia, malah pemacu utama transformasi teknologi serantau,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg