Johor terus mengukuhkan kedudukan sebagai pusat pelaburan digital utama Malaysia dengan kelulusan 42 projek pusat data bernilai RM164.45 bilion ($50 bilion) setakat suku kedua 2025.
Ini sekali gus menyumbang 78.6 peratus kapasiti teknologi maklumat operasi negara.
Negeri itu juga menyasarkan 60 peratus kapasiti pusat data Malaysia berpusat di Johor menjelang 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perkara itu dimaklumkan selepas pertemuan bersama Menteri Digital Malaysia, Encik Gobind Singh Deo, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital negeri.
Beliau menegaskan pertemuan itu menjadi medan penting untuk memperkukuh peranan Johor dalam Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), memastikan pembangunan pusat data dilaksanakan secara menyeluruh, mampan dan memberi impak tinggi kepada rakyat.
“Johor kini muncul sebagai peneraju pelaburan pusat data di Malaysia. Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan bermutu dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital negeri.
“Selari dengan perkembangan ini, kerajaan negeri beraspirasi menjadikan Johor sebagai peneraju kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital negara.
“Hasrat ini akan dicapai melalui pengintegrasian teknologi pintar dalam perkhidmatan awam, peningkatan daya saing industri, dan pembinaan ekosistem digital yang menyeluruh agar manfaat teknologi dapat dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Ogos.
Beliau yakin gabungan infrastruktur pusat data berskala besar, kemajuan teknologi AI, dan dasar kerajaan yang progresif berupaya menjadikan Johor sebagai pusat inovasi digital serantau.
Inisiatif itu, menurutnya, bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi malah meningkatkan mutu hidup rakyat menerusi penyediaan pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan industri baru dan penyelesaian pintar untuk cabaran harian.
“Semoga usaha bersepadu ini memastikan Johor kekal sebagai kuasa ekonomi negara dan diiktiraf di peringkat global sebagai hab AI dan digital yang dinamik, berdaya tahan, serta memberi limpahan manfaat kepada negeri dan rakyatnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata industri AI kini diiktiraf di peringkat global sebagai sektor masa hadapan yang mampu mengubah cara manusia bekerja, berkomunikasi, menghasilkan produk dan membuat keputusan.
Menurutnya, potensi AI tidak hanya terhad kepada teknologi maklumat, malah meliputi sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, pertanian, logistik, pengangkutan, keselamatan dan perkhidmatan awam.
“Inilah sebabnya AI menjadi tumpuan utama Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 yang digerakkan Kerajaan Persekutuan untuk memacu daya saing negara dan memastikan rakyat mendapat manfaat langsung daripada revolusi teknologi ini.
“Johor berada pada kedudukan strategik untuk merebut peluang ini kerana sudah muncul sebagai hab pusat data serantau yang berkembang pesat, menjadi nadi dan tulang belakang ekosistem AI negara,” katanya.
Beliau berkata projek-projek besar seperti Taman Teknologi Sedenak (STeP) serta pelaburan syarikat teknologi global telah meletakkan Johor di peta dunia sebagai destinasi utama pelaburan infrastruktur digital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg