Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor sasar tarik 20j pelancong asing, daripada 16j pada 2023

Feb 26, 2024 | 1:12 PM
Pengarah Tourism Johor, Encik Sharil Nizam Abdul Rahim (tiga dari kiri), bersama Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Johor, Encik Jimmy Leong (dua dari kiri), di perasmian ‘Heritage Walk’ Daerah Pusat Perniagaan Johor Bahru di Johor Bahru pada 25 Februari.
Pengarah Tourism Johor, Encik Sharil Nizam Abdul Rahim (tiga dari kiri), bersama Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Johor, Encik Jimmy Leong (dua dari kiri), di perasmian ‘Heritage Walk’ Daerah Pusat Perniagaan Johor Bahru di Johor Bahru pada 25 Februari. - Foto FACEBOOK PELANCONGAN JOHOR

JOHOR BAHRU: Johor merekodkan kedatangan sejumlah 16 juta pelancong asing sepanjang 2023, dengan sebahagian besar daripada mereka adalah pengunjung dari Singapura.

Pengarah Tourism Johor, Encik Sharil Nizam Abdul Rahim, berkata dengan perkembangan positif dan jumlah pengunjung tinggi itu, Johor meletakkan sasaran menarik lebih 20 juta pelancong asing pada 2024.

“Tourism Johor akan terus mempergiat usaha bagi menjadikan negeri ini, khususnya bandar raya Johor Bahru, sebagai destinasi pilihan utama pelancong dari Singapura.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah menyusun pakej-pakej pelancongan menarik, seperti aktiviti meneroka sejarah di Johor.

“Usaha ini dilakukan bagi menjadikan Johor sebagai lokasi penginapan dan bukan sekadar lokasi perhentian untuk membeli-belah buat warga republik berkenaan,” katanya, lapor The Star.

Encik Sharil Nizam berkongsi data itu selepas melancarkan ‘Heritage Walk’ di Daerah Pusat Perniagaan Johor Bahru pada 25 Februari.

Beliau berkata usaha mempromosi Johor dengan lebih agresif akan dipergiatkan terutama menerusi enam segmen pelancongan yang menjadi kunci menarik pelancong asing ke Johor.

“Ia merangkumi ekopelancongan, pelancongan sukan, perubatan, pendidikan, sejarah dan gastronomi,” katanya.

Beliau juga berkata kejatuhan nilai ringgit Malaysia ketika ini perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menarik lebih ramai warga Singapura datang ke Johor berbelanja dan mengunjungi destinasi pelancongan.

Tourism Johor akan bekerjasama rapat dengan badan dan agensi berkaitan untuk memperkasa sektor pelancongan negeri.

Menurutnya, sebagai sebahagian usaha menyambut Tahun Melawat Johor 2026, Tourism Johor akan memantau semua projek naik taraf kawasan pelancongan yang mendapat peruntukan kerajaan negeri yang dilaksanakan agensi berkaitan.

Semua perkembangan berkaitan projek pelancongan akan dilaporkan terus kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang memegang portfolio pelancongan negeri berikutan rombakan Exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Encik Sharil Nizam berkata antara lokasi tarikan pelancong yang sedang dinaik taraf ketika ini ialah Zoo Johor dan Taman Negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg