Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor tahan 7,597 pendatang tanpa izin dalam 10 bulan
Pihak berkuasa: Keperluan tenaga kerja tidak boleh dijadikan alasan
Johor tahan 7,597 pendatang tanpa izin dalam 10 bulan
JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa di Johor menahan 7,597 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta 370 majikan atau individu berkaitan antara 1 Januari dengan 31 Oktober 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata penguatkuasaan perlu diteruskan bagi menangani pelanggaran syarat pas, perbuatan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta ketiadaan dokumen sah.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap majikan, pemilik premis atau individu yang menggaji, melindungi dan menyediakan kemudahan kepada Pati secara haram.
Setiap tindakan, katanya, mesti berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Keperluan tenaga kerja tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dan pematuhan undang-undang,” kata beliau dalam kenyataan pada 10 November selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Isu Warga Asing Negeri Johor.
Datuk Jafni berkata Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu berkongsi maklumat serta menyelaraskan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Antara PBT yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai.
Beliau mahu agensi menggunakan maklumat risikan, aduan awam dan pemetaan lokasi berisiko untuk merancang operasi bersama.
Premis yang pernah dikenakan tindakan juga perlu diperiksa semula bagi mengesan kesalahan berulang.
Agensi terlibat turut diminta memantau perkembangan siasatan secara berkala, menyelaraskan kapasiti depoh tahanan dan memastikan proses penghantaran pulang mematuhi prosedur.
Mengenai penggajian pekerja asing, Datuk Jafni berkata majikan perlu mendapatkan kelulusan yang diperlukan, menyimpan rekod penggajian dan memenuhi kewajipan pelaporan.
Hak pekerja asing serta kepentingan pekerja tempatan perlu dilindungi.
Beliau turut meminta JTK Johor dan PBT menyelaraskan pemeriksaan penginapan pekerja, khususnya di premis yang digunakan sebagai asrama tanpa kelulusan PBT atau tidak memenuhi piawaian.
“Pemeriksaan itu perlu meliputi keselamatan bangunan, kebersihan dan kemudahan asas demi kebajikan pekerja serta penduduk sekitar,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Jafni mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Tourism Johor bagi membincangkan peranan PBT dalam membangunkan destinasi pelancongan setempat.
Menurutnya, pengalaman pengunjung turut bergantung pada kebersihan, keadaan kemudahan awam dan landskap, selain kemudahan akses serta keselamatan di tempat tumpuan.
Oleh itu, usaha menarik pelancong memerlukan penyelenggaraan yang berterusan oleh PBT.
“Saya mahu kerjasama antara PBT dengan Tourism Johor diperkukuh bagi mengetengahkan keunikan setiap kawasan, termasuk warisan, budaya, makanan dan tarikan masyarakat,” katanya.
Menurut Datuk Jafni, usaha memajukan destinasi itu perlu membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan.
Penduduk juga perlu berpeluang mendapat pekerjaan supaya masyarakat setempat turut menikmati manfaat ekonomi daripada kedatangan pelancong.