JOHOR BAHRU: Pertumbuhan sektor kesihatan swasta di Johor berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda, dengan institusi pendidikan dan latihan perlu memastikan mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan.

Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, berkata peluang itu meliputi pelbagai bidang, daripada perubatan dan kejururawatan hingga teknologi maklumat, pentadbiran serta perkhidmatan sokongan.

Menurutnya, perkembangan pelaburan kesihatan swasta menunjukkan keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi negeri, khususnya dengan pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Peluang ini bukan sahaja melibatkan doktor dan jururawat, tetapi juga ahli farmasi, profesional kesihatan bersekutu, juruteknologi, tenaga pentadbiran, teknologi maklumat, penyelenggaraan serta perkhidmatan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 September.

Beliau berkata pembukaan kemudahan kesihatan baru turut memberikan limpahan ekonomi kepada perusahaan kecil dan sederhana, pembekal peralatan perubatan, penyedia latihan serta industri perkhidmatan tempatan.

“Institusi pendidikan dan latihan perlu memastikan anak Johor dilengkapi kemahiran yang diperlukan supaya mereka menjadi penerima manfaat utama daripada pertumbuhan sektor ini,” katanya.

Dr Mohammad Aswad berkata hospital swasta turut berperanan melengkapkan sistem kesihatan negara.

Menurutnya, apabila pesakit yang berkemampuan atau mempunyai perlindungan insurans mendapatkan rawatan di sektor swasta, tekanan terhadap hospital dan kemudahan Kementerian Kesihatan Malaysia dapat dikurangkan.

Keadaan itu, katanya, membolehkan sumber kesihatan awam terus diutamakan untuk golongan yang memerlukannya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pertambahan hospital tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan tanggungjawab menjaga kesihatan.

“Hospital berperanan merawat penyakit, tetapi pencegahan bermula daripada diri sendiri,” katanya.

Beliau menggalakkan rakyat mengamalkan pemakanan seimbang, kekal aktif, mengelakkan rokok dan vape serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Dr Mohammad Aswad berkata pencapaian Agenda Maju Johor 2030 perlu turut dinilai berdasarkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Johor yang benar-benar maju mestilah mempunyai rakyat yang sihat, produktif dan mampu menikmati hasil kemajuan negeri.

“Kesihatan rakyat ialah modal pembangunan Johor. Tanpa rakyat yang sihat, produktiviti akan terjejas dan aspirasi besar Maju Johor 2030 sukar direalisasikan,” katanya.