JOHOR BAHRU: Perkhidmatan bas percuma bagi memudahkan pergerakan pelancong yang mengunjungi bandar raya ini akan disediakan bersempena Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi memudahkan pergerakan dan memberikan keselesaan kepada pelancong.
“Ini sekali gus memastikan perjalanan berjalan lancar dengan perkhidmatan pengangkutan yang disediakan meskipun terdapat kerja-kerja pembinaan dijalankan di bandar raya ini.
“Saya lihat kerja pembinaan di bandar ini sebagai sebahagian daripada pembangunan, contohnya, kita ada bas percuma dekat kawasan bandar.
“Ini untuk memudahkan pergerakan, saya lihat (kerja pembinaan) itu tidak menjadi kekangan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Maskot, Tagline, Lagu dan Video Rasmi Tahun Melawat Johor 2026 di Zoo Johor pada 13 Oktober.
Beliau mengulas sama ada kerja pembinaan termasuk Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang sedang dijalankan di bandar raya itu akan menjadi penghalang kedatangan pelancong.
Datuk Onn Hafiz berkata pelbagai kerja bagi menaik taraf jalan raya dan prasarana pelancongan juga telah dilakukan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Johor 2026.
Selain itu, pergerakan keluar dan masuk pelancong di pintu masuk sempadan juga akan lebih lancar dengan penggunaan teknologi sistem kod QR di kaunter pelepasan imigresen yang disediakan.
Terdahulu, dua ekor harimau belang spesies Panthera tigris yang lahir di Zoo Johor, iaitu Cuping dan Jucy, dipilih menjadi wajah rasmi atau maskot Tahun Melawat Johor 2026.
Sementara itu, Meh Lah Johor! pula dipilih sebagai slogan sambutan yang menggambarkan ajakan terbuka dan mesra bangsa Johor mengalu-alukan kedatangan pelancong meneroka keindahan dan keunikan negeri itu, lapor MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata pelancaran rasmi itu bukan sekadar simbolik, tetapi menzahirkan semangat rakyat Johor yang berani, progresif dan bersatu dalam mengangkat nama negeri di persada antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif promosi, Tourism Johor bersama Majestic Johor Tourism menandatangani kerjasama strategik dengan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan Grab Car Sdn. Bhd.
Melalui kerjasama itu, sebanyak 20,000 kod promosi perjalanan akan diedarkan untuk digunakan oleh pelancong di lokasi utama negeri itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg