Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor teliti aduan teksi rentas sempadan, bersiap hadapi El Nino
Rancang temu persatuan teksi untuk sahkan kenaikan bayaran; pembenihan awan dipohon bagi kawasan tadahan 13 loji air
Johor teliti aduan teksi rentas sempadan, bersiap hadapi El Nino
ISKANDAR PUTERI (Johor): Johor akan meminta Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menemui persatuan teksi rentas sempadan bagi meneliti dakwaan pengenaan bayaran baru untuk perjalanan ke Singapura serta aduan kegiatan kereta sapu - kenderaan persendirian yang beroperasi secara haram - di Larkin Sentral.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata isu bayaran itu belum dibangkitkan dalam pertemuan terdahulu pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) pada awal November.
“Jadi saya akan minta PAJ berjumpa dengan persatuan-persatuan teksi yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Dewan Negeri Johor pada 23 November ketika ditanya mengenai kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) tentang bayaran $15 bagi setiap perjalanan mulai Januari 2027.
Perkara itu akan dibangkitkan melalui PAJ bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sekiranya dakwaan tersebut disahkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia dan Singapura bersetuju dengan kuota 300 permit teksi rentas sempadan bagi setiap negara.
“Keperluan kelengkapan, termasuk kamera dan alat penentu kedudukan, tertakluk kepada syarat negara masing-masing,” katanya.
Mengenai isu kereta sapu di Larkin Sentral, beliau berkata aduan itu belum sampai ke pengetahuannya; PAJ akan diminta meneliti perkara tersebut bersama persatuan sekiranya aduan berkenaan benar.
Terdahulu, pada 25 Jun, LTA dalam satu kenyataan berkata teksi berdaftar di Malaysia yang memasuki Singapura perlu membayar $15 bagi setiap perjalanan mulai 1 Januari 2027, berbanding kadar semasa iaitu S$2 sebulan.
Pelarasan kepada yuran Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVP) Asean itu bertujuan untuk merapatkan jurang kos antara teksi berdaftar di Malaysia dengan teksi berdaftar di Singapura yang beroperasi di Singapura
Dalam perkembangan lain, Encik Mohamad Fazli berkata 13 loji rawatan air di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Segamat dikenal pasti berisiko kekurangan air mentah akibat El Nino.
Ketika berucap dalam Dewan Negeri Johor, beliau berkata Johor telah memohon kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya pembenihan awan dilaksanakan antara November 2026 dengan Jun 2027.
“Langkah ini bertujuan membantu meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan sebelum paras sumber air mengalami penyusutan yang lebih serius,” katanya.
Menurut Encik Mohamad Fazli, berdasarkan unjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dibentangkan, tempoh penghujung Januari hingga pertengahan Mac 2027 lebih membimbangkan kerana hujan monsun dijangka berkurangan dengan ketara.
Pengaruh El Nino yang dijangka masih kuat ketika itu boleh menyebabkan cuaca lebih panas serta penyusutan paras empangan dan sumber air mentah. Keadaan cuaca juga mungkin kurang sesuai untuk pembenihan awan.
Justeru, Johor mencadangkan pembenihan awan secara mingguan sepanjang November 2026 hingga Januari 2027, tertakluk kepada kesesuaian cuaca.