Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru Johor ‘balik ke sekolah’ di S’pura bagi tingkatkan pengajaran Stem

Ia bertujuan tingkatkan taraf pendidikan, sokong matlamat ekon jangka panjang negeri itu
Apr 19, 2025 | 5:56 PM
Guru-guru mata pelajaran Sains dari Johor mendengar penerangan tentang pengajaran makmal di Institut Pendidikan Nasional Singapura pada 9 April.
Guru-guru mata pelajaran Sains dari Johor mendengar penerangan tentang pengajaran makmal di Institut Pendidikan Nasional Singapura pada 9 April. - Foto ST

Johor kini giat berusaha menjadikan sistem pendidikannya lebih berdaya saing dan progresif, dengan penekanan khusus terhadap pengajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) dan bahasa Inggeris.

Negeri paling selatan di Malaysia itu secara rasmi telah menghantar kumpulan pertama 30 pendidik ke Institut Pendidikan Nasional (NIE) Singapura untuk kursus selama seminggu dari 7 April hingga 11 April, lapor The Straits Times.

Inisiatif Sekolah Bangsa Johor, yang dicetuskan pada 2024 oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bertujuan meningkatkan taraf pendidikan dan menyokong matlamat ekonomi jangka panjang negeri itu.

Kumpulan perintis, yang terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah, pensyarah universiti dan pegawai pendidikan negeri, berulang alik setiap hari dari bandar Iskandar Puteri ke NIE untuk menghadiri sesi tersebut.

Inilah kali pertama NIE menganjurkan kursus untuk pendidik Malaysia di kampus Singapura berhampiran Boon Lay.

Pegawai tertinggi pendidikan Johor, Encik Aznan Tamin, mengumumkan pada Februari bahawa empat sekolah kerajaan di Johor Bahru akan menyertai projek melibatkan 4,300 pelajar dan 212 guru, dan akan disemak setiap enam bulan.

“Pelajar dari sekolah ini akan menghabiskan sekurang-kurangnya 112 jam setahun dalam mata pelajaran Stem, hampir dua kali ganda daripada keperluan 64 jam di sekolah arus perdana,” kata Encik Aznan, sambil menambah bahawa kemudahan sekolah itu seperti makmal komputer dan sains akan dinaik taraf dan dilengkapi dengan teknologi terkini.

Menurutnya, penguasaan bahasa Inggeris dan standard penilaian yang lebih tinggi juga akan diperkenalkan, dengan matlamat 100 peratus pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Negeri Johor telah memperuntukkan RM6.22 juta ($1.85 juta) untuk menyokong skim perintis itu, yang melibatkan dua sekolah rendah kebangsaan – Sekolah Rendah Seri Kota Puteri 4 dan Sekolah Rendah Tasek Utara – dan dua sekolah menengah kebangsaan (SMK) – Kota Puteri 2 dan Tasek Utara, menurut dokumen Bajet 2025 Johor yang dibentangkan pada November 2024.

Inisiatif itu juga menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan meningkatkan perdagangan rentas sempadan dan pembangunan bakat, kata Encik Lee Ting Han, pegawai pelaburan dan sumber manusia Johor.

Secara keseluruhan, 90 guru Johor akan mengikuti kursus di NIE melalui cabang perundingannya, NIE International, kata Cik Lim Hwei Ming, penolong pengarah kanan pembangunan perniagaan firma itu.

Kumpulan pertama seramai 30 peserta di NIE memfokuskan kepada sains dan matematik.

Dua kelompok seterusnya sebanyak 30 setiap satu, menumpukan kepada pengajaran bahasa Inggeris dan strategi penilaian berkaitan pembelajaran pada Mei dan Jun, tambahnya.

“Matlamatnya adalah untuk memudahkan perkongsian amalan terbaik dan perspektif baru yang boleh dibawa balik oleh guru,” kata Cik Lim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg