Kerajaan Johor mengumumkan sebanyak 25 inisiatif tambahan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM209 juta ($63 juta) dan dijangka memberi manfaat kepada 1.9 juta penerima di seluruh negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata langkah itu adalah kesinambungan usaha kerajaan negeri untuk memastikan hasil negeri yang meningkat tidak hanya tercatat pada angka, sebaliknya dikembalikan terus kepada rakyat.
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah Program Infak Jumaat Johor, yang bertujuan menyediakan bantuan makanan setiap Jumaat kepada masyarakat memerlukan.
Program itu, katanya, bukan sekadar menyantuni golongan susah, bahkan juga mendidik masyarakat Bangsa Johor agar sentiasa berinfak dan bersedekah.
“Masjid bukan hanya pusat ibadah, tetapi pusat masyarakat. Malah, sekiranya ada masyarakat bukan Islam yang ingin merasakan manfaat ini, mereka juga dialu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Kota Iskandar, pada 11 September.
Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.72 juta kepada 132 masjid di seluruh Johor, dengan perancangan untuk diperluaskan lagi pada 2026.
Selain itu, program Jualan Kasih Johor akan diperluaskan ke 252 lokasi tambahan, memberi manfaat kepada 1.3 juta rakyat serta 2,500 usahawan dengan nilai peruntukan RM13.7 juta.
Kerajaan Johor turut memperuntukkan RM5.88 juta bagi agihan bakul makanan di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 88,882 mahasiswa Johor akan menerima bantuan sekali sahaja sebanyak RM200 seorang, melibatkan sejumlah RM17.7 juta.
Selain itu, sebanyak 2,000 unit komputer riba bernilai RM5 juta akan diagih kepada mahasiswa, sementara 42,689 calon SPM akan menerima baucar percuma bernilai RM853,000 untuk kemudahan pembelajaran.
Golongan pesawah, nelayan, penternak, petani, pemandu teksi, pemandu e-hailing, pesara polis, warga emas serta anak yatim turut menerima bantuan khas berbentuk tunai sekali sahaja dengan jumlah keseluruhan puluhan juta ringgit.
Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan Johor turut memperkenalkan 17 inisiatif tambahan melibatkan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan sosial Bangsa Johor.
Antara yang diumumkan termasuk penyelesaian 158 isu DUN dengan kos RM12.61 juta, baik pulih kemudahan perparitan, pencahayaan awam, papan tanda, hentian bas serta peruntukan tambahan untuk hospital di Johor Bahru dan Pasir Gudang.
Turut dilaksanakan sokongan kepada program Southern Volunteers, kegiatan kenegaraan Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Johor Business Summit, serta program anak muda termasuk Jelajah Mahasiswa Johor Bahru.
“Keseluruhannya, inisiatif ini jelas membuktikan bahawa hasil negeri yang bertambah tidak hanya dicapai dalam bentuk angka semata-mata, tetapi dikembalikan terus kepada rakyat. Inilah erti sebenar pentadbiran Johor yang sentiasa mendahulukan rakyat,” tegasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg