Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor mahu jadi hab industri digital dan kreatif Asean

Sep 3, 2025 | 11:36 AM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto ihsan PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

JOHOR BAHRU: Johor berhasrat menjadi hab industri digital dan kreatif Asean dengan memanfaatkan potensi ekonomi kreatif yang sedang berkembang pesat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sektor berkenaan merupakan pemacu utama inovasi, pekerjaan dan eksport bernilai tinggi.

“Ekonomi jingga (ekonomi kreatif) yang merangkumi industri kreatif dan budaya seperti media, reka bentuk, teknologi dan seni, boleh menjadi pemacu inovasi, pekerjaan dan eksport bernilai tinggi.

“Jangan silap, ekonomi jingga serta ekonomi digital dan kreatif adalah enjin pertumbuhan yang berkuasa dan berkembang pesat. Industri ini tidak lagi berada di pinggir tetapi di tengah-tengah daya saing negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Kandungan Digital Asean (ADCS) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada 2 September.

Tambahnya, contoh boleh dilihat di Korea Selatan dengan industri kandungan kreatifnya kini bernilai lebih AS$113 bilion ($145 bilion) yang menyediakan lebih 600,000 pekerjaan dan mengeksport lebih AS$12 bilion setiap tahun.

Menurutnya, dalam masa kurang tiga dekad, kandungan kreatif Asia telah beralih daripada pinggiran kepada arus perdana global, bersaing, dan malah menetapkan trend baru bersama-sama industri di Hollywood dan Eropah.

Datuk Onn Hafiz berkata Johor mempunyai segala kelebihan untuk menjadi kuasa kreatif di Asean kerana lokasinya strategik, infrastruktur yang kukuh dan mempunyai bakat.

“Dengan melabur dalam penceritaan, pereka, animator dan pemuzik, kami boleh membina ekosistem yang bukan sahaja mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi tetapi juga mengeksport identiti Johor kepada dunia,” katanya lapor MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz berkata penganjuran ADCS 2025 yang julung kali diadakan di Johor Bahru amat membanggakan sekali gus mengukuhkan negeri itu dalam peta kandungan digital.

“Sidang kemuncak ini adalah kemenangan bagi setiap rakyat Johor. Ia meletakkan Johor sebagai pintu masuk kandungan digital antara Malaysia dengan Asean, membuka pintu untuk pelaburan baru, pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan mampan,” katanya.

Beliau menambah, sidang kemuncak itu juga sejajar dengan persiapan Tahun Melawat Johor 2026 yang bertujuan memperkenal budaya, warisan dan pelancongan negeri di peringkat global.

Datuk Onn Hafiz mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kerana memilih Johor sebagai tuan rumah ADCS 2025 dan menyifatkannya sebagai langkah ke hadapan yang berani dalam perjalanan negeri ke arah menjadi hab digital dan Kecerdasan Buatan (AI).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg