JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang mengusahakan pembukaan awal dua jajaran yang sedang dinaik taraf di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) pada awal 2027, mendahului sasaran penyiapan penuh projek berkenaan.

Jajaran Plus antara Sedenak dengan Kulai diusahakan untuk dibuka pada Februari atau Mac 2027, manakala jajaran SDE antara Jambatan Sungai Johor dengan Sungai Semenchu sedang dipertimbangkan untuk dibuka pada Januari atau Februari tahun sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kemungkinan pembukaan awal itu sedang dibincangkan bersama pengendali lebuh raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kontraktor.

Bagi jajaran Sedenak-Kulai sepanjang 14.5 kilometer, sasaran siap sepenuhnya kekal pada Jun 2027.

“Kita akan cuba buka dulu laluan ini walaupun kerja-kerjanya masih belum siap sepenuhnya,” katanya dalam satu siaran langsung Borak Santai mengenai perkembangan projek lebuh raya di Johor pada 22 Oktober.

Jajaran tersebut merupakan Pakej A bagi Fasa 1 projek pelebaran Plus antara Senai Utara dengan Sedenak, yang melibatkan keseluruhan laluan sepanjang 21.8 kilometer dengan kos RM525 juta ($164 juta).

Kerja Pakej A bermula pada Jun 2024, manakala Pakej B antara Kulai dengan Senai Utara bermula pada Jun 2025 dan dijangka siap pada Disember 2027.

Encik Fazli berkata jajaran Senai Utara-Sedenak diberi keutamaan kerana keadaan berbukit menyebabkan kenderaan berat bergerak perlahan ketika mendaki, sekali gus menyumbang kepada kesesakan.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap pelebaran dapat dilaksanakan sepanjang laluan dari Ayer Keroh, Melaka, hingga ke Skudai, namun kelulusan diberikan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan persekutuan.

Bagi Fasa 2 antara Sedenak dengan Simpang Renggam, projek sepanjang 16.6 kilometer bernilai RM365.22 juta itu telah mencapai kemajuan 26.68 peratus.

Kerja pembinaan bermula pada 28 Julai 2025 dan dijangka siap pada 27 Julai 2028.

Fasa 3 antara Simpang Renggam dengan Machap pula melibatkan jajaran sepanjang 14 kilometer dengan kos RM487 juta. Kerja di tapak dijangka bermula pada Disember 2026 dan mengambil masa kira-kira tiga tahun.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memohon kelulusan Fasa 4 untuk menyambung pelebaran dari Machap menuju Ayer Hitam atau sehingga Yong Peng, selepas tiada pengumuman mengenainya dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini.

Sementara itu, projek naik taraf SDE antara Jambatan Sungai Johor dengan Sungai Semenchu sepanjang 9.34 kilometer disasarkan siap pada April 2027.

Projek bernilai RM128.52 juta itu melibatkan penambahan dua lorong untuk menyediakan keseluruhan empat lorong bagi kedua-dua arah. Cadangan pembukaan awal masih dalam perbincangan.

Bagi Fasa 2A SDE, jajaran Cahaya Baru-Jambatan Sungai Johor sepanjang kira-kira 4.7 kilometer melibatkan kos RM117 juta. Kerja dijangka bermula pada penghujung 2026 dengan sasaran siap pada Disember 2029.

Kerajaan negeri juga akan memohon kelulusan bagi baki Fasa 2B antara Sungai Semenchu dengan Penawar sepanjang 10.9 kilometer.